
PETALING JAYA: Memenangi pengiktirafan Emas Berkilau Of The Week untuk kali kedua, pelakon dan peserta Kilauan Emas Selebriti, Zila Bakarin, mendedahkan dia sememangnya sudah berniat untuk menderma wang yang diterimanya itu.
Zila atau Rosmawati Bakarin, 51, berkata, dia sedia maklum bahawa wang tunai berkenaan adalah untuk tujuan sumbangan dan bukannya milik peribadi.
“Dari awal lagi sudah diberitahu bahawa duit itu adalah untuk derma, sebab itu saya letakkan niat,” katanya menerusi satu hantaran di Threads miliknya.
Zila berkongsi perkara berkenaan bagi menjawab pertanyaan netizen berhubung agihan hadiah wang tunai berkenaan.
Katanya, dia sekadar bertindak sebagai wakil menyampaikan bantuan kepada penyanyi veteran, Mariam Ahmad, yang kini berdepan masalah kesihatan.
“Kepada mereka yang mengundi saya untuk menang, saya doakan agar mengalir juga pahala sedekah kepada mereka.
“Saya mewakili mereka untuk menyampaikan sumbangan itu. Terima kasih kepada semua pengundi,” katanya.
The post Saya letakkan niat untuk derma duit itu – Zila Bakarin appeared first on Utusan Malaysia.






