‘Saya nak menangis, Naufal dekat sekolah baik sangat’

18 Aug 2026 • 8:57 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Saya nak menangis, Naufal dekat sekolah baik sangat’

PETALING JAYA – Seorang kanak-kanak yang dipercayai rakan sekolah Allahyarham Muhamad Fattah Aisy Naufal Saifulnizam tidak dapat menyembunyikan kesedihan apabila mengenangkan pemergian rakannya itu secara tragis pada Jumaat lalu.

Allahyarham Muhamad Fattah, 12, rentung bersama ibunya Nur Fatima Syuhada Abdullah, 39, selepas kereta Perodua Bezza dinaiki mereka dihempap sebuah lori tangki sebelum terbakar di Jalan Temerloh-Triang berhampiran Kampung Lebak, di Temerloh, Pahang.

Menerusi tangkap layar perbualan kanak-kanak terbabit yang dikongsikan bapa Allahyarham, Saifulnizam Sulaiman, 39, di Facebook hari ini, rakan anaknya itu sempat menanyakan khabar lelaki tersebut sebelum melanjutkan cerita.

“Assalamualaikuk pak cik. Pak cik sihat?,” soal kanak-kanak terbabit.

Saifulnizam kemudiannya membalas mesej tersebut selain meminta kanak-kanak itu mendoakan kesejahteraan buat arwah isteri dan anaknya.

“Alhamdulillah. Mohon hadiahkan selawat dan al-Fatihah pada isteri dan anak syurga saya,” balasnya.

Dalam perbualan sama, kanak-kanak terbabit berkongsi kepada Saifulnizam bahawa dia sentiasa berselawat buat dua beranak tersebut dan mengakui akan berada sedih setiap kali teringat kejadian yang berlaku.

“Saya dah setiap hari selawat untuk mereka. Saya nak menangis bila ingat balik. Sebab Naufal dekat sekolah baik sangat. Selalu tolong orang,” katanya.

Terdahulu, jenazah ibu dan anak itu selamat dikebumikan dalam dua liang lahad bersebelahan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Sanggang, di Temerloh kira-kira pukul 2.30 petang.

Sementara itu, Kosmo! Online hari ini melaporkan pemandu lori tangki yang didakwa menyebabkan kematian dua beranak tersebut mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Anis Adlina Abu Johaniding di Mahkamah Majistret Temerloh.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat pemanduan melulu atau berbahaya.

Mahkamah kemudian menetapkan 1 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes, lantikan peguam serta penyerahan dokumen. – KOSMO! ONLINE

The post ‘Saya nak menangis, Naufal dekat sekolah baik sangat’ appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved