liza24/11/2026 - 14:26 MoU berkenaan ditandatangani Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi (kiri) dan Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Nara Setia (kanan) di pejabat SC dengan disaksikan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin (tengah) Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 24 Nov – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi meneroka pasaran modal Islam untuk membangunkan aset wakaf di Terengganu yang diuruskan MAIDAM, bernilai kira-kira RM243 juta.
Kerjasama itu bertujuan membuka peluang kepada penggunaan modal swasta serta memanfaatkan kepakaran dan ekosistem pasaran modal Islam Malaysia, termasuk dalam bidang kewangan sosial Islam bagi menyokong pembangunan aset wakaf yang bersesuaian.
Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata, kerjasama itu akan membantu memperluas peranan pasaran modal Islam dalam menyokong pembangunan kewangan sosial Islam, selain membuka ruang kepada pembangunan aset wakaf yang mempunyai potensi ekonomi dan manfaat kepada masyarakat.
Menurutnya, usaha itu turut selaras dengan aspirasi Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030 (CMP) untuk terus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju kewangan Islam.
“Pasaran modal Islam boleh memainkan peranan lebih luas daripada sekadar menyediakan akses kepada pembiayaan, termasuk menghimpunkan kepakaran dalam penstrukturan projek, pelaburan, tadbir urus dan pengumpulan dana.
"Melalui kerjasama ini, kami berhasrat untuk menyatukan keupayaan bagi membantu MAIDAM merealisasikan potensi pembangunan aset wakaf yang bersesuaian.
“Pendekatan itu diharap dapat menyokong pelaksanaan projek wakaf yang berdaya maju dan mampan melalui gabungan sumber modal serta kepakaran daripada ekosistem pasaran modal,” katanya dalam satu kenyataan.
MoU berkenaan ditandatangani Mohammad Faiz dan Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Nara Setia, Datuk Zulkifli Ali di pejabat SC dengan disaksikan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin.
Aset tanah wakaf MAIDAM bernilai RM243 juta
Sehingga September 2026, MAIDAM menguruskan aset tanah wakaf di Terengganu yang bernilai kira-kira RM243 juta, manakala kutipan wakaf tunai terkumpul sejak 2008 melebihi RM15 juta.
Sementara itu, Datuk Nara Setia berkata, MoU itu mencerminkan komitmen pihaknya untuk meneroka pendekatan lebih inovatif dan mampan melalui peluang berasaskan pasaran bagi membangunkan aset wakaf di negeri berkenaan.
Katanya, MAIDAM berharap dapat memanfaatkan keupayaan pasaran modal Islam Malaysia untuk memperluas pilihan pembiayaan bagi projek wakaf yang bersesuaian, sekali gus menyalurkan manfaat jangka panjang kepada masyarakat.
Pasaran modal Islam Malaysia cecah RM2.92 trilion
Dalam perkembangan berkaitan, saiz pasaran modal Islam Malaysia mencecah RM2.92 trilion setakat September 2026, mewakili kira-kira 64% daripada keseluruhan saiz pasaran modal negara bernilai RM4.5 trilion.
Kerjasama itu turut meneruskan penglibatan SC dengan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), termasuk menerusi penganjuran Meja Bulat Wakaf SC-MAIN buat julung kalinya pada 2023 bagi memahami peluang dan cabaran pembangunan aset wakaf di Malaysia.
Melalui inisiatif berkenaan, SC berhasrat memperkukuh hubungan antara MAIN dengan ekosistem pasaran modal menerusi usaha menghubungkan projek berpotensi, sumber modal, pelabur, pengantara serta kepakaran bagi menyokong pembangunan aset wakaf yang lebih produktif. - DagangNews.com






