Kimlun terbit kertas komersial Islam RM31.66 juta bagi modal kerja, pembiayaan semula

LocalBusiness & Finance
30 Oct 2026 • 5:42 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kimlun terbit kertas komersial Islam RM31.66 juta bagi modal kerja, pembiayaan semula Image from: Kimlun terbit kertas komersial Islam RM31.66 juta bagi modal kerja, pembiayaan semula sarah30/10/2026 - 17:42 Gambar dari laman web Kimlun Corporation Berhad Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 30 Okt - Kimlun Corporation Berhad menerbitkan kertas komersial Islam (ICP) bernilai RM31.66 juta bagi membiayai keperluan modal kerja, perbelanjaan modal serta pembiayaan semula kemudahan kewangan sedia ada kumpulan.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat pembinaan itu berkata, terbitan berkenaan dilaksanakan menerusi dua bahagian di bawah Program Kertas Komersial Islam berasaskan prinsip Syariah Murabahah melalui aturan Tawarruq.

 

Terbitan pertama bernilai RM16.40 juta mempunyai tempoh matang enam bulan, manakala terbitan kedua sebanyak RM15.26 juta mempunyai tempoh matang setahun.

 

Menurut Kimlun, hasil terbitan itu turut akan digunakan bagi tujuan korporat am yang mematuhi syariah, melibatkan syarikat dan anak-anak syarikat dalam kumpulan.

 

Program ICP itu merupakan sebahagian daripada kemudahan pembiayaan Islam Kimlun yang turut merangkumi Program Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN), dengan had gabungan kedua-dua program sehingga RM800 juta.

 

Program pembiayaan berkenaan telah dikemukakan kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) pada 4 Oktober 2021, manakala OCBC Al-Amin Bank Berhad bertindak sebagai pengurus utama bagi terbitan ICP terbaharu itu.

 

Terbitan berkenaan dilaksanakan mengikut terma dan syarat program sedia ada, namun pengumuman itu tidak memperincikan kadar keuntungan bagi kedua-dua bahagian ICP tersebut.

 

Sebelum ini, DagangNews.com melaporkan Kimlun menerbitkan kertas komersial Islam bernilai RM18.3 juta pada September 2025 dan RM5.81 juta pada Januari 2024, masing-masing di bawah program pembiayaan Islam kumpulan yang mempunyai had gabungan sehingga RM800 juta.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved