SCIB tukar juruaudit kepada Morison LC PLT, tegaskan operasi dan projek tidak terjejas

Business & Finance
30 Oct 2026 • 5:59 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

SCIB tukar juruaudit kepada Morison LC PLT, tegaskan operasi dan projek tidak terjejas Image from: SCIB tukar juruaudit kepada Morison LC PLT, tegaskan operasi dan projek tidak terjejas sarah30/10/2026 - 17:59 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 30 Okt - Sarawak Consolidated Industries Berhad (SCIB) mengesahkan pertukaran juruaudit luarnya kepada Morison LC PLT berkuat kuasa hari ini, sambil menegaskan perubahan tersebut tidak menjejaskan operasi perniagaan atau pelaksanaan projek sedia ada kumpulan.

 

Dalam kenyataan, SCIB berkata, Morison LC PLT menggantikan Kreston John & Gan selepas semua prosedur dan keperluan kawal selia diselesaikan, termasuk memperoleh pelepasan daripada juruaudit terdahulu serta persetujuan bertulis firma baharu itu.

 

Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SCIB, Michael Tan Thian Zhi berkata, pertukaran juruaudit tersebut dilaksanakan secara teratur bagi memastikan kesinambungan proses pelaporan kewangan serta mengekalkan standard tadbir urus dan ketelusan syarikat.

 

“Kami berbesar hati mengalu-alukan Morison LC PLT sebagai juruaudit luar baharu dan menghargai perkhidmatan profesional serta sumbangan Kreston John & Gan kepada SCIB,” katanya.

 

Beliau berkata, operasi kumpulan berjalan seperti biasa dengan tumpuan diberikan kepada pelaksanaan projek dalam buku tempahan, peningkatan kecekapan operasi serta meneruskan kemajuan yang dicapai di Sabah sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

 

Menurut SCIB, aktiviti pembinaan, kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) serta sistem binaan berindustri (IBS) di Sarawak dan Sabah diteruskan seperti dirancang, tanpa sebarang perubahan terhadap komitmen projek kumpulan.

 

Morison LC PLT merupakan firma audit, percukaian dan khidmat nasihat Malaysia yang menjadi ahli Morison Global, sebuah rangkaian antarabangsa firma perakaunan dan perundingan bebas. Firma itu akan bertanggungjawab mengaudit penyata kewangan SCIB selepas ini.

 

Sebagai latar belakang, SCIB mengumumkan cadangan pertukaran juruaudit pada 9 Oktober 2026 dengan menamakan Morison LC PLT sebagai pengganti Kreston John & Gan. Syarikat yang disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia itu menjalankan perniagaan pembinaan, kejuruteraan dan penyelesaian IBS.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved