
PETALING JAYA – Personaliti media sosial popular, Dr. Afifah atau lebih mesra disapa Dr Fie, kini sah bergelar isteri kepada usahawan, Kapten Amrul Nizar Anuar.
Pasangan sama cantik, sama padan itu disatukan dalam majlis akad nikah yang berlangsung kira-kira pukul 10 pagi tadi.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh bapa Dr. Fie, sekali gus menyaksikan pasangan itu sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz.
Dalam majlis tersebut, Dr. Fie menerima satu dinar emas sebagai mas kahwin.
“Semoga Allah permudahkan semuanya. Insya-Allah,” coret Fie menerusi satu hantaran di Instagram.
Pasangan mempelai tampil sedondon dalam persalinan serba putih pada hari bahagia mereka yang turut disaksikan ahli keluarga serta kenalan rapat.
Terdahulu, perkongsian Dr. Fie di media sosial mencetuskan tanda tanya apabila dia dilihat seolah-olah memberi bayangan bahawa dirinya sudah menjadi tunangan orang.
Untuk rekod, Dr. Fie pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi Nubhan pada 29 Ogos 2015 sebelum pasangan itu disahkan bercerai talak dua pada Disember lalu selepas melalui prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, Selangor.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 9, Ahmad Aafan, 7, dan Afzan Nayille, 4. – KOSMO! ONLINE
The post Sekali lafaz, Dr. Fie sah bergelar isteri Kapten Amrul appeared first on Kosmo Online.






