PASANGAN pempengaruh terkenal, Ahmad Aslam dan Umisya Mazlan, berkongsi khabar gembira apabila dikurniakan cahaya mata keempat pada Khamis.
Perkhabaran tersebut dimaklumkan oleh Ahmad Aslam, atau nama penuhnya Aslam Kasyfun Nazir Rashid, 26, menerusi satu hantaran di Instagram Story yang turut memuatkan pesanan istimewa buat anak yang baru dilahirkan itu.
“Selamat datang ke dunia, anakku.
“Dunia ini mengajar manusia tentang harapan melalui kehilangan, kekuatan melalui kesakitan dan menghargai kebahagiaan melalui setiap ujian yang ditempuh,” tulisnya.
Dalam perkongsian sama, beliau turut memuat naik sekeping foto yang memperlihatkan tangan bayi tersebut menggenggam jarinya.
Sementara itu, Umisya turut meluahkan rasa syukur atas kehadiran ahli baharu dalam keluarga mereka menerusi perkongsian di media sosial.
Bagaimanapun, pasangan berkenaan masih belum mendedahkan maklumat lanjut mengenai bayi mereka termasuk jantina dan nama anak tersebut.
Untuk rekod, Ahmad Aslam dan Umisya mendirikan rumah tangga pada Julai 2020. Pasangan itu pernah dilaporkan berpisah sekitar tahun 2023 sebelum kembali rujuk ketika masih dalam tempoh idah.
Ahmad Aslam juga merupakan suami kepada Marissa Dania Hakim, anak kepada pasangan selebriti Abby Abadi dan Norman Hakim, yang dikahwininya pada 27 Disember 2023.






