Seni Jaya ambil alih Ganad Media bernilai RM5 juta, tambah 60 tapak iklan seluruh negara

23/09/2025 - 09:39
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 23 Sept – Seni Jaya Corp Bhd terus mengorak langkah strategik apabila mengumumkan pengambilalihan Ganad Media Sdn Bhd bernilai RM5 juta untuk memperluaskan lagi segmen pengiklanannya.
Perjanjian tersebut dimeterai melalui anak syarikat milik penuhnya, Seni Jaya Sdn Bhd, dengan penjual iaitu Dwi Mewah Sdn Bhd.
Seni Jaya dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, pembelian itu akan diselesaikan melalui kombinasi RM3 juta secara tunai dan RM2 juta lagi menerusi terbitan 4.95 juta saham baharu Seni Jaya pada harga 40.4 sen sesaham.
Ganad Media merupakan penyedia perkhidmatan pengiklanan luar yang memiliki kira-kira 60 tapak papan iklan di seluruh Lembah Klang, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Pahang dan Terengganu.
Format iklannya meliputi pelbagai segmen termasuk papan iklan LED, panel bebas, ‘minipole metropanel’, unipole, papan iklan jejantas, paparan bumbung, lightbox dan panel dinding.
Ketua Pegawai Eksekutif Seni Jaya, Jeff Cheah See Heong berkata, meskipun Ganad Media sedang mencatatkan kerugian, ia masih memiliki reputasi kukuh dalam bidang pengiklanan.
Bagi tahun kewangan 2023, Ganad Media menanggung kerugian bersih lebih tinggi sebanyak RM73,000 berbanding RM66,000 pada tahun sebelumnya, ekoran penurunan hasil kepada RM4.7 juta daripada RM5.96 juta.

“Langkah pengambilalihan ini adalah sebahagian daripada strategi jangka panjang untuk mengukuhkan kedudukan pasaran syarikat.
“Dengan menggabungkan kepakaran kami, Seni Jaya yakin dapat menawarkan penyelesaian pengiklanan yang lebih berimpak, selain membuka sinergi baharu untuk meningkatkan kedudukan dalam pasaran,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, portfolio Ganad Media, khususnya tapak mercu tanda di Kuala Lumpur akan melengkapi aset sedia ada Seni Jaya dan mewujudkan platform lebih kukuh yang menawarkan pelbagai pilihan kepada pelanggan.
“Langkah ini bukan sahaja memperluas skala, malah meningkatkan kualiti serta keberkesanan penawaran media luar rumah kami,” jelasnya.
Harga terbitan saham baharu itu ditetapkan berdasarkan persetujuan kedua-dua pihak dengan merujuk kepada purata harga wajaran volum lima hari dagangan saham syarikat sehingga 19 September iaitu 41.5 sen sesaham.
Lembaga Pengarah menegaskan, penyelesaian sebahagian pembelian melalui saham akan mengukuhkan asas aset kumpulan tanpa menjejaskan aliran tunai segera, berbanding jika ia dilunaskan sepenuhnya dalam bentuk tunai.
Sehingga 30 Jun lalu, Seni Jaya memiliki wang tunai serta setara tunai berjumlah RM12.85 juta, termasuk baki tunai di bank dan deposit jangka pendek.- DagangNews.com
standard




