
KEMAMAN -Tiga lelaki etnik Rohingya yang ditahan bagi membantu siasatan kes rogol melibatkan seorang wanita orang kurang upaya (OKU) kategori intelektual berusia 23 tahun, disambung reman lagi selama lima hari sehingga Isnin depan.
Perintah sambungan reman terhadap kesemua suspek berusia 19 hingga 28 tahun itu dibenarkan Majistret Marsha Abdul Malik di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.
Sebelum ini, mereka telah ditahan reman selama lima hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd. Razi Rosli berkata, ketiga-tiga suspek yang merupakan buruh binaan dan pekerja kebersihan itu telah ditahan pada Sabtu lalu.
“Dua lagi lelaki yang juga etnik Rohingya juga telah ditahan bagi membantu siasatan kes sama pada kelmarin (Isnin lalu). Mereka yang berusia 23 tahun telah ditahan dalam serbuan di Kampung Besut, Chukai di sini,” katanya di sini, hari ini.
Mohd. Razi berkata, siasatan terperinci sedang dilakukan termasuk memberi ruang kepada mangsa yang merupakan OKU melengkapkan keterangan. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Sentuh’ OKU: Reman 3 lelaki Rohingya disambung 5 hari appeared first on Kosmo Digital.






