Seorang peserta KKEC UiTM meninggal dunia, lapan lagi tidak sedar diri

6 Sep 2026 • 9:57 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Seorang peserta KKEC UiTM meninggal dunia, lapan lagi tidak sedar diri
Allahyarham Fadhlan Fakhry Solana Mohd Fellimal.
Image from: Seorang peserta KKEC UiTM meninggal dunia, lapan lagi tidak sedar diri
Program tahunan yang menghimpunkan komander kesatria dari seluruh cawangan UiTM se-Malaysia berlangsung dari 2 hingga 8 September di UiTM Cawangan Pahang, Kampus Jengka.
Image from: Seorang peserta KKEC UiTM meninggal dunia, lapan lagi tidak sedar diri
Kesemua peserta dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut dipercayai akibat faktor cuaca panas.
Image from: Seorang peserta KKEC UiTM meninggal dunia, lapan lagi tidak sedar diri
Kenyataan media dikeluarkan UiTM pada Ahad.

KUANTAN - Seorang peserta meninggal dunia, manakala lapan lagi menerima rawatan di hospital selepas mengalami masalah kesihatan ketika menyertai program Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC) 2026 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dekat Jengka, Maran.

Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai berkata, pihaknya menerima laporan melibatkan kejadian itu pada 6.59 petang semalam.

"Mangsa yang meninggal dunia merupakan pelajar lelaki berusia 21 tahun dan butiran lanjut akan diberi selepas laporan bedah siasat diterima,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Difahamkan, kesemua mereka tidak sedarkan diri sebelum dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut dipercayai akibat faktor cuaca panas.

**media[3638211]**

Sementara itu, UiTM Cawangan Pahang dalam kenyataan menzahirkan rasa dukacita dan mengucapkan takziah kepada keluarga peserta program KKEC daripada UiTM Cawangan Negeri Sembilan Allahyarham Fadhlan Fakhry Solana Mohd Fellimal.

Pihak pengurusan sentiasa mengutamakan kebajikan warganya, justeru UiTM sedang memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap kebajikan keluarga Allahyarham.

ARTIKEL BERKAITAN: Peserta KKEC 2026 meninggal dunia, UiTM laksana tindakan segera

'Anak saya rebah ketika hampiri garisan penamat' - Bapa peserta KKEC UiTM meninggal dunia

KKEC UiTM: Beri bantuan, sokongan keluarga pelajar meninggal dunia - Zambry

"Pengurusan universiti telah menggerakkan bantuan komprehensif bagi memastikan segala urusan pengurusan jenazah, dokumentasi, pengangkutan dan keperluan sokongan emosi kepada keluarga mangsa berjalan dengan lancar serta dipermudah tanpa sebarang kesulitan,” menurut kenyataan itu.

UiTM memaklumkan sebagai bukti komitmen universiti terhadap keselamatan dan kesihatan pelajar, pihak penganjur telah menetapkan pertandingan melibatkan aktiviti luar KKEC 2026 yang dijadualkan pada hari ini dibatalkan.

**media[3638210]**

Menurut kenyataan itu, program tahunan yang menghimpunkan komander kesatria dari seluruh cawangan UiTM se-Malaysia berlangsung dari 2 hingga 8 September di UiTM Cawangan Pahang, Kampus Jengka telah melalui pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan dan keselamatan yang ketat.

"Semua peserta diwajibkan menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum program bermula, selain saringan kesihatan berkala sebelum setiap acara bermula. Malah, beberapa peserta terdahulu telah pun diminta menarik diri selepas didapati tidak melepasi saringan akhir tersebut,” menurut kenyataan itu.

**media[3638212]**

Pihak UiTM memandang serius kejadian ini dan akan terus memantau rapi situasi semasa bagi memastikan kebajikan semua pihak yang terlibat terpelihara.

"Segala kesulitan amatlah dikesali, dan kerjasama serta doa daripada semua pihak amat dihargai dalam mendepani waktu yang sukar ini,” menurut kenyataan itu.- Bernama 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved