
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Buat mereka yang bergelar ibu apa, kadangkala ada perbuatan kita yang secara tidak sedar boleh membuat anak terasa hati hingga mereka merasakan dirinya kurang disayangi berbanding adik-beradik yang lain.
Namun, ada juga segelintir individu yang sememangnya mempunyai anak emas atau ‘favourite’ mereka sendiri.
Buat anda yang bergelar ibu bapa, pernah tak anda terfikir apakah hukum mengamalkan sikap pilih kasih terhadap anak-anak?
Pilih Kasih Perkara Yang Dibenci Agama – Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Menurut laman Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, sikap (favouritism) pilih kasih oleh ibu bapa adalah perkara yang dibenci dalam agama.
Ini kerana perbuatan tersebut hanya akan mengundang kebencian sesama ahli kelurga khususnya dalam kalangan adik-beradik.
Jelas laman itu, setiap anak mempunyai hak masing-masing dan berhak mendapatkannya daripada ibu bapa mereka sendiri.
Boleh Jatuh Hukum Haram Jika Memudaratkan Anak Yang Lain
Malah penceramah dan pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus (UAI) turut menjelaskan, sikap melebih-lebihkan sebahagian anak dalam soal pemberian hingga memudaratkan anak yang lain hukumnya haram dan berdosa.
Ia selari dengan himpunan fatwa dari Universiti Al-Azhar bahawa seseorang itu dituntut untuk menyamakan pemberian antara anak tanpa pilih kasih atau melebih-lebihkan melainkan terdapat sebab yang mengharuskannya.
“Menyamakan pemberian antara anak-anak itu adalah disunatkan.
“Telah berkata jumhur fuqaha dari Mazhab Hanafi dan yang masyhur dalam Mazhab Maliki serta muktamad di sisi Mazhab Syafie, jika dilebihkan salah seorang daripada anaknya kerana mahu memudaratkan anak-anak yang lain, maka dia telah berdosa dan perbuatannya itu haram kerana sesungguhnya dia berniat melakukan zalim dan kemudaratan,” jelasnya dipetik Sinar Harian.
Ibu Bapa Dilarang Membeza-Bezakan Anak, Islam Pandang Setiap Manusia Adalah Sama
Dalam pada itu, laman Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut menyebut, anak-anak merupakan pemberian hadiah dan rezeki dari Allah SWT buat mereka yang bergelar suami isteri.
“Keharusan untuk memenuhi hak anak-anak pada perkara-perkara yang telah disyariatkan merupakan satu keperluan yang perlu dipenuhi mengikut kadar kemampuan ibu bapa,” kata mereka.
Jelasnya, agama Islam sendiri memandang setiap manusia sama sahaja di sisi Allah SWT yang membezakan adalah nilai ketaqwaan dan keimanan seseorang itu.
“Oleh itu, begitu juga prinsipnya dalam hal kehidupan berkeluarga iaitu ibu bapa dilarang untuk membeza-bezakan setiap anak tidak kira sama ada anak lelaki atau anak perempuan.
“Keadilan dan kesamarataan adalah suatu perkara yang dititik beratkan dalam islam bagi memastikan kesejahteraan dalam keluarga,” jelas mereka.
Ibu Bapa Perlu Berlaku Adil Terhadap Anak, Makruh Jika Tak Bersikap Adil
Terang Laman Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan lagi, ibu bapa perlu berlaku adil ibu bapa terhadap anak khususnya dalam pemberian hadiah.
“Larangan ini jelas dapat dilihat dalam hadis riwayat Amir bahawa beliau berkata:
سَمِعْتُ النُّعْمَانَ بْنَ بَشِيرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا وَهُوَ عَلَى الْمِنْبَرِ يَقُولُ:أَعْطَانِي أَبِي عَطِيَّةً، فَقَالَتْ عَمْرَةُ بِنْتُ رَوَاحَةَ: لَا أَرْضَى حَتَّى تُشْهِدَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَأَتَى رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: إِنِّي أَعْطَيْتُ ابْنِي مِنْ عَمْرَةَ بِنْتِ رَوَاحَةَ عَطِيَّةً، فَأَمَرَتْنِي أَنْ أُشْهِدَكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قال: أَعْطَيْتَ سَائِرَ وَلَدِكَ مِثْلَ هَذَا. قَالَ: لَا، قَالَ: فَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعْدِلُوا بَيْنَ أَوْلَادِكُمْ. قَالَ: فرجع فرد عطيته
“Maksudnya: ‘Aku mendengar Nu’man bin Basyir ketika berada di mimbar berkata: ‘Ayahku memberi aku hadiah tetapi Amrah binti Rawahah (ibuku) mengatakan bahawa dia tidak akan meredhainya melainkan dia menjadikan Rasulullah SAW sebagai saksi kepadanya.’ Kemudian, ayahku datang berjumpa dengan Rasulullah SAW dan berkata: ‘Aku telah memberikan hadiah kepada anakku daripada Amrah binti Rawahah tetapi dia memerintahkan aku untuk menjadikan kamu sebagai saksi.’ Rasulullah SAW bertanya: ‘Adakah kamu telah memberikan hadiah seumpama ini kepada semua anak-anakmu?’ Beliau menjawab: ‘Tidak’. Baginda bersabda: ‘Bertakwalah kamu kepada Allah SWT dan berlaku adil lah kepada anak-anakmu’. Ayahku kemudiannya pulang dan mengambil semula hadiahnya.’ (Riwayat Bukhari),”
“Dalam satu riwayat yang lain bahawa Nabi SAW menolak permintaan bapa Nu’man bin Basyir untuk dijadikan saksi.
قَالَ (فَأَشْهِدْ عَلَى هَذَا غَيْرِي) ثُمَّ قَالَ (أَيَسُرُّكَ أَنْ يَكُونُوا إِلَيْكَ فِي الْبِرِّ سَوَاءً). قَالَ بَلَى. (قَالَ لاَ إِذًا).
“Maksudnya: “Rasulullah SAW bersabda: Panggillah orang lain untuk menjadi saksi selain aku, adakah kamu suka jika semua anak-anakmu bersamaan berbuat baik kepadamu? Beliau berkata: Ya. Nabi Berkata: Janganlah berbuat demikian (iaitu jangan memberikan hadiah kepada seseorang dengan mengecualikan yang lain), (Riwayat Muslim).
“Berdasarkan hadis tersebut, imam al-Nawawi menjelaskan bahawa setiap ibu bapa perlu berlaku adil kepada anak-anaknya dalam hal pemberian hadiah dan tidak melebihkan sebahagiannya atas sebahagian yang lain.
“Sekiranya ibu bapa tidak bersikap sama rata, maka hukum perbuatan itu adalah makruh meskipun hadiah yang diberikan adalah sah menurut syarak,” jelas mereka.
Adil Adalah Meletakkan Sesuatu Perkara Sesuai Dengan Tempat & Waktu
Terang laman itu lagi, konsep adil dan kesamarataan dalam Islam adalah dengan meletakkan sesuatu yang sesuai dan kena pada tempat yang mana waktu dan kadarnya tidak terlebih atau terkurang serta tidak diawal atau dilewatkan.
“Hadiah kepada anak-anak juga tidak disyaratkan untuk sama akan pemberiannya malah mungkin ia berbeza dari sudut umur dan jantina.
“Hadiah untuk anak yang lebih berusia tidak sama dengan hadiah untuk anak yang masih kecil. Begitu juga dengan hadiah kepada anak perempuan tidak sama dengan anak lelaki,” jelas mereka.
Baca Artikel Berkaitan: Boleh Ke Guna Duit Raya Anak Untuk Bayar ‘Roadtax’? Ini Hukumnya
Baca Artikel Berkaitan: Makhruh Hukum Letak Nama Anak Tanpa Makna, Kata UAI [Video]






