Setia EcoHill 2 Business Park di Semenyih catat tempahan 85% sehari selepas dilancarkan

17 Nov 2026 • 3:23 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Setia EcoHill 2 Business Park di Semenyih catat tempahan 85% sehari selepas dilancarkan Image from: Setia EcoHill 2 Business Park di Semenyih catat tempahan 85% sehari selepas dilancarkan liza17/11/2026 - 15:23 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 17 Nov – SP Setia Berhad mencatatkan sambutan menggalakkan bagi pembangunan Setia EcoHill 2 Business Park di Semenyih, Selangor apabila 85% daripada keseluruhan 49 unit yang ditawarkan berjaya ditempah dalam tempoh sehari selepas pelancarannya baru-baru ini.

 

Pembangunan bernilai RM200 juta itu merangkumi kawasan perindustrian seluas 17 hektar (42.01 ekar) dan menjadi kawasan industri khusus pertama dalam perbandaran Setia EcoHill 2 yang berkeluasan 408.7 hektar (1,010 ekar) dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM5 bilion.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SP Setia, Datuk Zaini Yusoff berkata, pembangunan taman industri itu merupakan langkah strategik dalam memperluas asas ekonomi Setia EcoHill 2, sekali gus meningkatkan peranannya sebagai lokasi pertumbuhan perniagaan.

 

Beliau berkata, sambutan awal terhadap pembangunan itu mengukuhkan keyakinan kumpulan terhadap peranan kawasan perindustrian berkenaan dalam fasa pertumbuhan seterusnya perbandaran itu.

 

"Melalui kemasukan aktiviti perindustrian ke dalam perbandaran ini, kami mempelbagaikan asas ekonominya serta membuka peluang baharu kepada perniagaan untuk menubuhkan dan mengembangkan operasi masing-masing," katanya dalam kenyataan.

 

Tawarkan 49 unit merangkumi lot industri dan kilang

Setia EcoHill 2 Business Park menawarkan 49 unit yang terdiri daripada 11 lot perindustrian, 36 kilang berkembar dan dua kilang bagi memenuhi keperluan operasi perniagaan yang berbeza.

 

Lot perindustrian berstatus pegangan bebas itu ditawarkan bermula daripada satu ekar dengan harga permulaan RM3.9 juta, sekali gus memberi fleksibiliti kepada pemilik perniagaan untuk membangunkan premis mengikut keperluan operasi masing-masing.

 

Sementara itu, 36 kilang berkembar dibangunkan di atas tanah berukuran 80 kaki x 160 kaki dengan keluasan binaan kira-kira 6,560 kaki persegi dan harga bermula RM3.7 juta.

 

Dua kilang pula dibangunkan di atas tanah melebihi 26,000 kaki persegi dengan keluasan binaan kira-kira 8,504 kaki persegi, pada harga permulaan RM5.8 juta.

 

Kawasan perindustrian berpagar dan berkawal itu turut menampilkan reka bentuk kilang yang mengoptimumkan penggunaan ruang tingkat bawah bagi aktiviti pembuatan, logistik dan penyimpanan barangan.

 

Pelaburan RM130 juta tingkatkan akses ke kawasan perindustrian

Menurut Zaini, pembangunan itu turut disokong pelaburan RM130 juta oleh SP Setia bagi meningkatkan akses ke perbandaran Setia EcoHill 2.

 

Daripada jumlah itu, sebanyak RM80 juta dibelanjakan untuk pembinaan laluan LEKAS-EcoHill Link yang mula dibuka pada Ogos 2015, manakala RM50 juta lagi diperuntukkan bagi menyambung laluan berkenaan sejauh dua kilometer ke Setia EcoHill 2 pada 2018.

 

Kawasan perindustrian itu boleh diakses menerusi Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Lebuhraya SILK, Jalan Semenyih dan Jalan Bangi Lama.

 

Terletak bersebelahan Taman Perindustrian Mahkota Beranang, pembangunan itu menyasarkan pemilik perniagaan dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), termasuk pengusaha industri ringan, syarikat berkaitan logistik serta pengendali gudang.

 

Ia turut menyasarkan pengusaha industri sedia ada di kawasan sekitar yang ingin mengembangkan operasi atau memiliki premis perniagaan sendiri.

 

SP Setia berkata, penyediaan lot tanah pegangan bebas dan kilang sedia dibina itu membolehkan syarikat memenuhi keperluan ruang serta operasi perniagaan yang berbeza, selain berkembang seiring pembangunan perbandaran berkenaan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved