sarah20/11/2026 - 17:52 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 20 Nov – SFP Tech Holdings Bhd (SFP Tech) sedang meneroka peluang perniagaan baharu dalam industri pertahanan, robotik dan perlombongan sebagai sebahagian daripada usaha mengurangkan kebergantungan kepada sektor semikonduktor serta memperluas pasaran antarabangsanya.
Pengarah Urusannya, Keoh Beng Huat berkata, syarikat itu turut melihat potensi pertumbuhan dalam bidang penyimpanan tenaga, elektronik perindustrian, komunikasi, teknologi perubatan dan tenaga boleh diperbaharui, selain meningkatkan hubungan dengan pelanggan di Amerika Syarikat (AS), Australia dan Eropah.
“Selain semikonduktor, kami melihat minat yang berterusan dalam sektor penyimpanan tenaga, elektronik perindustrian dan komunikasi, di samping peluang baharu dalam pertahanan, perlombongan, robotik, teknologi perubatan dan tenaga boleh diperbaharui,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semikonduktor kekal penyumbang utama
Walaupun meneroka industri baharu, sektor semikonduktor masih menjadi penyumbang terbesar kepada buku tempahan SFP Tech yang berjumlah RM143.86 juta setakat 30 Oktober 2026, dengan nilai RM80.8 juta atau 56.1% daripada keseluruhan tempahan.
Sektor tenaga pula menyumbang RM40.5 juta atau 28.2%, diikuti teknologi perubatan sebanyak RM11.6 juta (8.1%), industri lain RM6.7 juta (4.7%) dan perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) RM4.2 juta (2.9%).
Beng Huat berkata, peningkatan penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang mendorong pelaburan dalam industri cip serta kerumitan reka bentuk semikonduktor membuka peluang kepada syarikat untuk memperluas penglibatan dalam proses pembuatan cip peringkat awal (front-end semiconductor applications).
Tempahan baharu sokong pertumbuhan
SFP Tech turut mengekalkan nisbah tempahan kepada jualan melebihi 1.2 kali bagi tiga suku tahun berturut-turut, menunjukkan nilai tempahan baharu terus mengatasi hasil jualan yang direkodkan dalam tempoh berkenaan.
Dari segi prestasi kewangan, hasil bagi sembilan bulan berakhir 30 September 2026 meningkat 60.5% kepada RM113.89 juta berbanding RM70.98 juta bagi tempoh sama tahun lalu, manakala keuntungan selepas cukai melonjak 82.8% kepada RM15.21 juta daripada RM8.32 juta.
Bagi suku ketiga tahun kewangan 2026, hasil meningkat 24% kepada RM48.50 juta berbanding RM39.11 juta pada suku sebelumnya, disokong permintaan pelanggan yang lebih kukuh, walaupun keuntungan selepas cukai terjejas oleh penyusutan margin keuntungan sebelum cukai dan kerugian pertukaran asing sebanyak RM820,000.
Beng Huat berkata, keutamaan syarikat selepas ini adalah untuk menukar perbincangan dengan pelanggan kepada tempahan sebenar, memperluas penyertaan dalam pelbagai industri serta mengukuhkan kedudukan di pasaran antarabangsa.- DagangNews.com






