
SHAH ALAM: Tiga bulan selepas terpaksa menanggung derita patah kaki, S. Sharvaankumar akhirnya mendapat penamat manis apabila menewaskan individu yang pernah mencederakannya untuk menghadiahkan emas kepada Selangor pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.
Atlet berusia 21 tahun itu menampilkan semangat luar biasa untuk menundukkan M. Sharma dari Perak dalam final kumite lelaki 84 kilogram (kg) ke atas di Ideal Convention Centre (IDCC), sebentar tadi.
Pertarungan sengit itu berakhir 3-3, namun Sharvaankumar dinobatkan sebagai pemenang selepas semakan video memihak kepadanya sekali gus mencetuskan sorakan gemuruh penyokong tuan rumah.
Kemenangan itu cukup bermakna buat Sharvaankumar yang sebelum ini patah kaki ketika bertemu Sharma pada Kejohanan Karate Kebangsaan, tiga bulan lalu, ketika dia sedang mendahului.
“Saya sangat gementar ketika turun menentang Sharma kerana teringat kembali pertemuan kami sebelum ini. Ketika itu saya sedang mendahului sebelum kaki saya patah dan terpaksa menarik diri.
“Selepas kejadian itu, saya menjalani pemulihan secara konsisten dan tidak lama kemudian kembali menjalani latihan. Kali ini kemenangan menjadi milik saya dan lebih manis kerana berjaya melakukannya di laman sendiri,” katanya.
Sharvaankumar turut menganggap kejayaan itu sebagai penebus kekecewaan pada penampilan sulungnya di SUKMA Sarawak dua tahun lalu apabila tersingkir seawal pusingan pertama.
“Ini adalah SUKMA kedua dan terakhir saya. Di Sarawak, saya tersingkir pada pusingan pertama, namun ketika itu saya berjuang dengan kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) sehingga terpaksa menjalani pembedahan tahun lalu,” katanya.-UTUSAN
The post Sharvaankumar tebus dendam dengan emas appeared first on Utusan Malaysia.






