
NILAI – Adib Andhar Andan mencipta sejarah apabila menghadiahkan emas pertama Sarawak dalam acara keirin lelaki Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026 sejak acara itu dipertandingkan pada edisi 2011 di Kuala Lumpur.
Lebih manis, kejayaan pelumba berusia 21 tahun di Velodrom Nasional Malaysia, Nilai, Negeri Sembilan itu hadir tepat pada masanya apabila menghadiahkan kilauan emas berkenaan sempena hari lahir buat ibunya, Rohayu, yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-57 pada 20 Ogos lalu.
Adib mengakui kejayaan itu hadir dengan perasaan bercampur-baur kerana selain merealisasikan impian untuk memenangi emas Sukma, dia turut berjaya menghadiahkan sesuatu yang cukup bermakna buat insan yang sentiasa berada di belakangnya.
“Saya ada perasaan bercampur-baur di sini dan saya sangat gembira kerana ini sesuatu yang saya impikan. Pingat emas ini sebenarnya hadiah untuk hari lahir ibu saya.
“Saya telefon ibu selepas perlumbaan dan saya mula menangis. Saya juga beri tahu ini hadiah hari lahir untuk ibu. Saya juga ucap terima kasih atas semua doa ibu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Lebih istimewa, kejayaan itu menjadi penutup manis buat penampilan terakhir Adib di pentas Sukma selepas sebelum ini beraksi pada Sukma Sarawak menerusi acara lebuh raya, namun gagal menghadiahkan sebarang pingat kepada negeri kelahirannya.
“Pada Sukma lepas di Sarawak, saya bertanding dalam acara lebuh raya tetapi tidak dapat memenangi apa-apa untuk Sarawak. Alhamdulillah, tahun ini saya berjaya memberikan Sarawak pingat emas,” katanya.
Namun, Adib enggan terlalu lama meraikan kejayaan berkenaan apabila sudah mengintai satu lagi emas menerusi acara pecut individu yang akan berlangsung esok, sebelum dijadualkan beraksi pada Piala Trek Thailand di Bangkok pada 28 Ogos. -KOSMO! ONLINE
The post Sukma 2026: Adib hadiah emas pertama Sarawak dalam keirin appeared first on Kosmo Digital.






