
Mohammad Shearil Aizat Ahmad menjadi pemain ping pong terbaik di Saga XI selepas membantu Papar menang tiga daripada keseluruhan tujuh pingat emas yang dipertandingkan.
Kontinjen Papar mengutip emas dalam acara perseorangan lelaki, beregu lelaki dan juga acara berpasukan lelaki yang diadakan di Dewan SJK (C) Sin Hwa, pada Rabu.
Dalam acara perseorangan lelaki, Shearil cemerlang menundukkan pemain tuan rumah, Fung Jia Kang di penentuan emas manakala pemain Ranau, Mohammad Zamil Najih dan Wong Ming Chen (Sandakan) berkongsi pingat gangsa.
Dalam acara beregu lelaki, Shearil yang berpasangan dengan Muhammad Izzuddin Sainin muncul juara dengan menjinakkan beregu Sandakan, Wong Ming Chen dan Enoch Wong Le Yi sementara Beaufort yang menampilkan pasangan adik beradik Voo Zheng Yan dan Voo Zheng Zhe dan satu lagi beregu Papar Ahmad Syuib Afendi dan Muhammad Alham membawa pulang gangsa.
Shearil terus unggul membantu Papar memenangi emas ketiga mengalahkan pasukan Kota Kinabalu, diikuti Sandakan dan Penampang di tempat ketiga.
Ping pong menutup gelanggang dengan dua lagi emas milik Sandakan menerusi beregu wanita dan perseorangan wanita manakala Kota Kinabalu dan Tawau masing-masing membawa pulang satu emas dalam acara berpasukan wanita dan beregu campuran.
Sementara itu, dalam saingan bola jaring, Keningau berjaya mengekalkan statusnya selaku juara bertahan.
Kuasa besar bola jaring Saga itu berjaya mempertahankan gelaran buat edisi keempat berturut-turut.
Keningau menundukkan Kota Kinabalu 53- 49 dalam perlawanan akhir yang diadakan di gelanggang Tawau Futsal Centre pada Rabu.
Pada aksi akhir, anak buah Halleinah Tuanggaak itu dilihat tidak berdepan masalah untuk terlebih dahulu di depan pada suku pertama dengan 15-9 dan turut berada di depan pada suku kedua dengan 26-19.
Di suku ketiga, pasukan Kota Kinabalu cuba menekan Keningau dan berjaya merapatkan jurang mata menjadi 35- 41.
Keningau kembali menunjukkan taringnya pada suku ke empat apabila mendapatkan 12 tambahan jaringan untuk menamatkan saingan akhir dengan 53-49.
Perlawanan merebut pingat gangsa dimenangi oleh pasukan Sandakan setelah menumpaskan Lahad Datu dengan mata 54-36.
