johardy29/09/2026 - 09:00 Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Kinergy, Datuk Dr Lai Keng Onn Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 29 Sept - Pengasas Kinergy Advancement Berhad, Datuk Dr Lai Keng Onn kini adalah pemegang saham individu terbesar Avangaad Berhad selepas membeli sekitar 278.38 juta saham pengendali kapal itu daripada Sindora Berhad dan Kulim (M) Berhad.
Sebelum urus niaga itu, Sindora memegang 20.02% kepentingan langsung dalam Avangaad, manakala Kulim mempunyai 0.97% kepentingan langsung. Kulim turut mempunyai 20.02% kepentingan tidak langsung melalui pegangannya dalam Sindora.
Kulim merupakan sebahagian daripada Johor Corp, cabang pelaburan milik kerajaan negeri Johor. Sindora menjadi pemegang saham Avangaad sejak awal 2007, apabila ia mengambil 51% kepentingan dalam syarikat berkenaan.
Lai, yang juga Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Kinergy, membeli saham tersebut pada 24 September dengan nilai sekitar RM69.6 juta, bersamaan 25 sen sesaham, menurut pemfailan kepada Bursa Malaysia dan data Bloomberg.
Pembelian itu meningkatkan pegangan langsung Lai dalam Avangaad kepada 23.08%, berbanding 2.057% sebelumnya. Kinergy merupakan syarikat menyediakan perkhidmatan kejuruteraan elektrik dan mekanikal.
Pegangan melalui Voultier
Selain pegangan langsungnya, Lai dilaporkan mempunyai kepentingan tidak langsung dalam 51% saham Avangaad yang dipegang Voultier Sdn Bhd (VSB). Voultier melanggan 676.387 juta saham baharu di bawah pelan regularisasi Avangaad yang selesai tahun lalu.
Bagaimanapun, Lai memiliki 30% saham Voultier, manakala baki 70% dimiliki Pengarah Bukan Eksekutif Kinergy, Datuk Mubarak Hussain Akhtar Husin. Lai menyertai lembaga pengarah Avangaad sebagai pengarah eksekutif pada Julai 2024.
Menurut data Bloomberg, sebanyak 265.5 juta saham daripada Sindora dipindah milik dalam dua blok, masing-masing 227.05 juta dan 38.45 juta saham, dengan nilai keseluruhan RM66.37 juta. Sebanyak 12.884 juta saham yang dipegang Kulim pula dipindah milik pada nilai RM3.22 juta.
Lai mula meningkatkan pegangan langsungnya dalam Avangaad pada April 2026 sebelum membeli blok saham daripada Sindora dan pemegang saham lain pada September.
Bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026, keuntungan bersih Avangaad meningkat kepada RM10.48 juta daripada RM6.03 juta setahun sebelumnya, terutamanya disebabkan keuntungan daripada pelupusan kapal FOIS Nautica Tembikai. Hasilnya hampir mendatar pada RM32.77 juta.
Saham Avangaad naik 1.72% kepada 29.5 sen pada Isnin, 28 September, menjadikan nilai pasaran syarikat itu RM391.2 juta. Saham berkenaan bagaimanapun susut 7.81% sejak awal tahun. - DagangNews.com






