Jika anda atau syarikat anda sedang mencari komputer riba kelas produktiviti yang premium, Dell Malaysia baru-baru ini telah membawa masuk barisan komputer riba Dell Pro yang dikemaskini dengan siri cip pemprosesan Intel Core Ultra Series 3 “Panther Lake” dan Intel Core Series 3 “Wildcat Lake” terbaru untuk pelbagai jenis tugasan di pejabat.
Model-model ini termasuklah Dell Pro 3 Series 14, Dell Pro 3 Series 16, Dell Pro 5 Series 14, Dell Pro 5 Series 16, Dell Pro 7 Series 13 2-in-1, Dell Pro 7 Series 14 2-in-1 dan Dell Pro 7 Series 13.

Bermula dengan Dell Pro 3 Series, kedua-dua model Dell Pro 3 Series 14 dan Series 16 hadir dengan pilihan cip pemprosesan Intel Core Series 3 “Wildcat Lake” dari pilihan cip pemprosesan Intel Core 5 320 sehinggalah Intel Core 7 360 dengan penawaran memori dari 8GB LPDDR5 sehinggalah 48GB LPDDR5 dan storan SSD dari 256GB sehinggalah 2TB.
Model Dell Pro 3 Series 14 hadir dengan paparan skrin bersaiz 14 inci dengan resolusi 1920×1200, manakalan model Dell Pro 3 Series 16 hadir dengan paparan skrin bersaia 16 inci dengan resolusi yang sama.

Dari segi penawaran palam pula, siri Dell Pro 3 Series dilengkapi dengan dua palam Thunderbolt 4, dua palam USB 3.2 Type-A, satu palam HDMI 2.1, satu palam audio 3.5mm dan satu palam RJ-45 untuk sambungan internet berwayar. Dari segi sambungan nirwayar pula, model komputer riba ini hadir dengan sokongan sambungan WiFi6 dan Bluetooth 5.4 yang boleh dinaiktaraf ke WiFi7 dan Bluetooth 6.0 sekiranya diperlukan.

Beralih kepada Dell Pro 5 pula, kedua-dua pilihan model Dell Pro 5 Series 14 dan Dell Pro 5 Series dikuasakan oleh pilihan cip pemprosesan Intel Core Ultra Series 3 “Panther Lake” yang merupakan siri cip pemprosesan komputer riba nipis dan ringan yang berkuasa dan juga Intel Core Series 3 “Wildcat Lake”. Diantara kedua-dua pilihan model komputer riba ini, pengguna boleh memilih cip pemprosesan Intel Core Ultra 5 332 vPro sehinggalah Intel Core Ultra X7 368H yang hadir dengan cip pemprosesan Intel Arc B390.
Dari segi penawaran memori dan storan pula, kedua-dua komputer riba ini hadir dengan pilihan memori LPDDR5 16GB sehinggalah 64GB LPCAMM2 DDR5 yang terbina, dengan storan SSD 256GB sehingga 2TB.

Dari segi paparan pula, Dell Pro 5 Series 14 dimuatkan dengan paparan dengan pilihan panel IPS dan OLED bersaiz 14 dan 16 inci dengan resolusi 1920×1200. Rekaan rangkanya yang seringan 1.34kg juga membolehkan komputer riba ini mudah dibawa dan digunakan dimana-mana sahaja, tidak kira di dalam ataupun di luar pejabat.
Dell Pro 5 hadir dengan bateri 70WHr yang menjanjikan penggunaan sepanjang hari, dan pengecasan pantas yang membolehkannya digunakan dan dicas dari mana-mana sahaja tanpa perlu membawa bongkah pengecasan yang besar.

Dari segi penawaran palam, Dell Pro 5 hadir dengan dua palam Thunderbolt 4, dua palam USB 3.2 Type-A, satu palam HDMI 2.1 dengan sokongan untuk sambungan ke paparan dengan resolusi 4K60, satu palam RJ-45 untuk sambungan berwayar dan juga satu palam audio 3.5mm.

Dell Pro 7 pula merupakan siri komputer riba Dell Pro yang tampil dengan paling banyak model berlainan. Dell Pro 7 Series 13 dan 14 2-in-1 merupakan komputer riba yang hadir dengan rekaan paparan boleh dipusingkan 360 darjah untuk digunakan sebagai sebuah komputer tablet, manakala Dell Pro 7 Series 13 pula hadir dengan rekabentuk komputer riba nipis dan ringan tradisional.

Ketiga-tiga komputer riba ini hadir dengan satu pilihan spesifikasi, iaitu dikuasakan cip Intel Core Ultra 5 335 vPro, memori LPDDR5X sebanyak 16GB dan juga storan SSD sebesar 512GB. Dari segi sambungan nirwayar, siri komputer riba ini tampil dengan sokongan WiFi7 dan juga Bluetooth 6.0.

Dari segi palam pula, Dell Pro 7 ini dimuatkan dengan dua palam Thunderbolt 4, dua palam USB 3.2 Type-A, satu palam HDMI 2.1, satu palam audio 3.5mm dan pembaca kad SD dan talam nano-SIM secara pilihan jika pengguna memilih untuk mendapatkannya.
Dell Malaysia mengatakan bahawa kesemua komputer-komputer riba ini sudahpun mula ditawarkan melalui gedung atas talian Dell Malaysia dengan tanda harga permulaan berikut:
- Dell Pro 3 Series 14 – RM4970
- Dell Pro 3 Series 16 – RM4930
- Dell Pro 5 Series 14 – RM6930
- Dell Pro 5 Series 16 – RM7324
- Dell Pro 7 Series 13 2-in-1 – RM7866
- Dell Pro 7 Series 14 2-in-1 – RM9350
- Dell Pro 7 Series 13 – RM8419





