
Jika komputer anda masih menggunakan sistem operasi Windows 11 versi 24H2, sistem operasi tersebut akan mula dinaiktaraf secara automatik ke versi terbaru Windows 11 versi 25H2 untuk memastikan bahawa sistem operasi tersebut mempunyai ciri-ciri dan juga kemaskini sekuriti terbaru.
Satu lagi sebab ialah kerana Windows 11 versi 24H2 akan tamat tempoh penggunaannya pada 13 Oktober 2026. Untuk memastikan bahawa semua pengguna sistem operasi tersebut akan menerima kemaskini terbaru di masa akan datang, Microsoft akan memaksa kemaskini ini untuk semua pengguna tidak lama lagi.

Seperti biasa, apabila kemaskini wajib ini mula diperkenalkan, pengguna hanya akan boleh menunda pemasangannya untuk satu ketika sahaja sebelum ia dimuat-turun dan dipasang secara automatik.
Perbezaan kemaskini baru dengan yang dilakukan sebelum ini ialah Microsoft nampaknya akan memperkenalkan penawaran kemaskini baru menggunakan sistem kecerdasan buatan. Tidak banyak yang diberitahu berkenaan penggunaan sistem AI ini, tetapi jangkaan orang ramai ialah ia bermakna bahawa kemaskini-kemaskini Windows 11 akan datang tidak lagi melalui pengawasan manusia.
Berikutan beberapa kemaskini terbaru Windows 11 yang sentiasa menghadapi masalah, kami tidak pasti jika ini adalah jalan penyelesaian terbaik untuk menangani kemaskini sistem operasi tersebut.

