
SHAH ALAM, 23 OGOS: Selangor menutup cabaran acara terjun Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 dengan kutipan tiga pingat emas, dua perak dan empat gangsa.
Pingat terakhir skuad negeri hadir menerusi gandingan Aeriel Riezqi Abdullah dan Ayu Syuhaida Khairul yang meraih gangsa dalam acara 10 meter platform seirama campuran.
Tiga emas Selangor disumbangkan Muhammad Haris Mohd Rezal menerusi acara 1 meter papan anjal lelaki, Uzlifatil Jannah Ashraf dalam 1 meter papan anjal wanita serta Ayu Syuhaida menerusi 3 meter papan anjal wanita pada hari terakhir saingan.

Lebih manis, kejayaan Haris turut mencuri tumpuan apabila beliau menewaskan dua penerjun kebangsaan untuk muncul juara acara 1 meter papan anjal lelaki.
Sarawak pula mendominasi saingan terjun dengan meraih enam daripada 12 pingat emas yang dipertandingkan, sekali gus muncul kontinjen terbaik dalam acara berkenaan.
Kutipan keseluruhan sembilan pingat menjadi penutup positif buat skuad terjun Selangor pada temasya kali ini.






