
Kota Kinabalu: Pasukan wanita Sabah FA mara ke perlawanan akhir Liga Kebangsaan Wanita selepas mencatatkan kemenangan meyakinkan 2-0 ke atas Red Eagles SC dalam aksi separuh akhir di Arena MBSJ, Subang Jaya pada Sabtu.
Ini merupakan kemenangan kedua ke atas pasukan dari Kedah itu, susulan pertemuan terakhir peringkat kumpulan di Stadium Likas, di mana Sabah menang selesa 3–0.
Sabah FA memulakan perlawanan dengan corak permainan agresif dan menyerang, memaksa Red Eagles bertahan untuk mengekang tekanan awal tersebut.
Selepas mensia-siakan beberapa peluang, pemain import dari Korea Selatan, Sebin An—yang dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan—menjaringkan gol pembukaan sejurus sebelum tamat separuh masa pertama, hasil daripada hantaran Rocill Yeka Lole susulan satu sepakan penjuru.
Penjaring terbanyak Sabah FA, Enzi Broussard, menggandakan kelebihan pada minit ke-56 menerusi rembatan padu dari jarak dekat hasil hantaran Misaki Nakayama, sekali gus mengesahkan kemenangan dominan tersebut.
Ketua jurulatih, Bobby Gonzales, memuji usaha gigih anak buahnya susulan kemenangan itu.
“Alhamdulillah atas kemenangan malam ini. Kami memulakan perlawanan dengan intensiti tinggi, mencipta beberapa peluang keemasan sebelum berjaya menjaringkan gol sejurus sebelum tamat separuh masa pertama.
“Kami terus memberikan tekanan pada separuh masa kedua, mara ke hadapan untuk mendapatkan gol kedua. Terima kasih yang tidak terhingga atas kerja keras dan dedikasi setiap pemain dalam pasukan; akhirnya kami berjaya melangkah ke perlawanan akhir,” katanya.
Sabah FA seterusnya akan berdepan pemenang perlawanan separuh akhir kedua antara Selangor FC dan Kelana United pada Ahad, dalam aksi final yang dijadualkan berlangsung pada 31 Oktober.






