
KUALA LUMPUR – Hasrat beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah untuk meraih gelaran kedua berturut-turut tidak kesampaian apabila sekadar naib juara pada Kejohanan Badminton Terbuka Perancis.
Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Arena Grand Paris sebentar tadi, pasangan No.4 dunia itu terpaksa akur gagal meraih gelaran selepas tewas 21-10, 17-21, 16-21 kepada Mayu Matsumoto-Yuki Fukushima dari Jepun.
Turun menentang pilihan utama kejohanan, Pearly-Thinaah bagaimanapun bermula cukup baik apabila mendominasi set pertama menerusi serangan yang dilakukan dan mendahului dengan jurang mata cukup besar 9-1.
Kemudian, Matsumoto-Fukushima memperkemaskan permainan dan berjaya merapatkan kedudukan 7-10, namun ia belum cukup apabila Pearly-Thinaah kembali menjarakkan mata sebelum menang 21-10.
Bersambung set kedua, perlawanan dilihat berlangsung dalam keadaan seimbang apabila kedua-dua pasukan terikat 6-6 sebelum beregu Jepun mula menjarakkan diri dan selesa mendahului 14-8.
Walaupun Pearly-Thinaah kembali mengejar dan merapatkan kedudukan 14-17, namun ia belum mencukupi apabila pemain lawan berjaya mengekalkan fokus dan menang 21-17 bagi mengheret perlawanan ke set penentuan.
Memasuki set ketiga, Matsumoto-Fukushima dilihat meningkatkan tempo permainan selain menampilkan aksi lebih agresif untuk mendahului 8-2 dan meletakkan pasangan negara dalam tekanan.
Pearly-Thinaah yang tidak rela memberi kemenangan mudah kepada beregu Jepun kemudiannya cuba merapatkan kedudukan 10-15, namun tidak mampu menghalang kemenangan Matsumoto-Fukushima menerusi keputusan 21-16.
Sebagai rekod, pasangan negara boleh dianggap sudah kembali menemui sentuhan sebenar apabila berjaya memenangi kejohanan Terbuka Denmark minggu lalu selain mara ke final Terbuka Perancis.
Selaku juara, Matsumoto-Fukushima membawa pulang hadiah tunai AS$70,300 (RM287,196) berserta trofi manakala Pearly-Thinaah terpaksa berpuas hati dengan AS$33,250 (RM135,836) dan juga trofi. – KOSMO! ONLINE
The post Terbuka Perancis: Pearly-Thinaah akur naib juara appeared first on Kosmo Online.






