liza03/06/2026 - 17:24 SkyWorld 2040 menjadi pelan hala tuju baharu untuk memperkukuh keupayaan syarikat, memperluas skala perniagaan, serta mencipta nilai mampan kepada semua pihak berkepentingan Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 3 Jun – SkyWorld Development Bhd melancarkan pelan strategik jangka panjang dikenali sebagai SkyWorld 2040 bagi memperkukuh kedudukan kumpulan dalam industri hartanah serantau, selain menyasarkan untuk muncul antara 30 pemaju hartanah teratas di Asia Tenggara menjelang tahun 2040.
SkyWorld berkata, pelan berkenaan merupakan kesinambungan kepada sasaran jangka sederhana selepas IPO yang sedang dilaksanakan, dengan sasaran melancarkan projek pembangunan bernilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM4.6 bilion menjelang 2026.
“SkyWorld 2040 dirangka sebagai pelan hala tuju selama 15 tahun yang dibahagikan kepada tiga fasa, masing-masing selama lima tahun, bagi memastikan pertumbuhan lebih tersusun dan berperingkat.
“Bagi fasa pertama melibatkan tahun kewangan 2027 hingga 2031, kumpulan menyasarkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM1 bilion sebagai asas pengukuhan prestasi kewangan,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam tempoh sama, SkyWorld turut menyasarkan pelancaran projek pembangunan dengan nilai GDV sebanyak RM12 bilion serta sasaran jualan mencecah RM10 bilion.
Ketua Pegawai Eksekutif SkyWorld, Lee Chee Seng berkata pelan tersebut dibangunkan sebagai kesinambungan kepada kejayaan kumpulan dalam melaksanakan fasa awal tawaran awam permulaan (IPO).
Beliau berkata SkyWorld 2040 menjadi pelan hala tuju baharu untuk memperkukuh keupayaan syarikat, memperluas skala perniagaan, serta mencipta nilai mampan kepada semua pihak berkepentingan.
“Kumpulan kekal dengan pendekatan pelaksanaan yang berdisiplin, iaitu asas yang telah menyokong pertumbuhan syarikat sejak peringkat awal penyenaraian.
“Bagi mencapai sasaran lima tahun pertama, SkyWorld memperkenalkan tiga teras utama pertumbuhan sebagai pemacu kepada pengembangan perniagaan kumpulan.
“Teras pertama dikenali sebagai “Go For Launch” (lancar habis-habisan) yang memberi tumpuan kepada mempercepatkan pelancaran projek hartanah bagi meningkatkan pertumbuhan pendapatan dan jualan,” katanya.
Selain itu, teras kedua melibatkan strategi pengembangan serantau melalui “+1 SEA Market Entry” (kemasukan satu lagi pasaran Asia Tenggara), selain operasi sedia ada di Vietnam.
Bagaimanapun, peluasan ini tertakluk kepada kesesuaian pasaran serta keselarasan strategik jangka panjang kumpulan.
Teras ketiga pula memberi fokus kepada inovasi produk melalui rangkaian kediaman sedia ada seperti Awani, SkySignature dan X-Premier, selain memperkenalkan siri baharu S-Housing (perumahan S).
Siri S-Housing dibangunkan khusus bagi menyediakan kediaman mampu milik berkualiti tinggi dengan sasaran utama kepada segmen B40 yang merupakan pasaran terbesar di kawasan bandar.
SkyWorld berkata pembangunan masa depan akan dipacu penggunaan teknologi Pembinaan Prefabrikasi Siap Pasang (PPVC), iaitu kaedah pembinaan menggunakan komponen siap pasang yang lebih cepat dan sistematik.
Sebagai langkah awal, syarikat sedang membangunkan fasiliti pengeluaran PPVC pertama di Pulau Pinang, dengan projek SkyWorld Pearlmont di Seberang Jaya dipilih sebagai projek perintis penggunaan teknologi tersebut.
Menurut SkyWorld, penggunaan PPVC dijangka mempercepatkan tempoh pembinaan, meningkatkan kualiti projek serta memperkukuh aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Dengan pelan strategik ini, SkyWorld optimis untuk terus mengukuhkan kedudukan sebagai antara pemain utama industri hartanah serantau menjelang tahun 2040 melalui pertumbuhan mampan dan inovasi berterusan.- DagangNews.com





