sarah26/11/2026 - 14:55 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 26 Nov - OCK Group Bhd memiliki buku tempahan gabungan bernilai RM1.1 bilion yang menyokong prospek pertumbuhan kumpulan bagi beberapa tahun kewangan akan datang, seiring dengan pengembangan perniagaan infrastruktur digital dan telekomunikasinya.
Sebagai penyedia kemudahan rangkaian yang dilantik bagi rangkaian 5G kedua Malaysia, OCK turut menyasarkan penyediaan kemudahan sambungan 5G dalam lebih 600 bangunan di seluruh negara menjelang 2029.
Pengarah Urusan Kumpulan OCK, Datuk Wira Sam Ooi Chin Khoon berkata, buku tempahan berkenaan merangkumi kontrak berasaskan projek dan kontrak yang menjana pendapatan berulang, sekali gus menyediakan asas kukuh untuk mengekalkan momentum operasi kumpulan.
OCK menjangkakan peluasan infrastruktur 5G dan pelaksanaan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 2 akan meningkatkan permintaan terhadap pembinaan tapak telekomunikasi, infrastruktur gentian optik, pengoptimuman rangkaian dan perkhidmatan sambungan berkaitan.
Kumpulan turut memperluas perniagaan infrastruktur digital bernilai tinggi, termasuk pusat data, bandar pintar, kabel dasar laut serta sistem dan aplikasi berasaskan kecerdasan buatan (AI) untuk perusahaan dan agensi kerajaan.
Portfolio menara bakal melebihi 9,400 tapak
Dalam usaha memperkukuh kedudukannya di Asia Tenggara, OCK meneruskan rancangan pengembangan ke Kemboja yang bakal meningkatkan portfolio menara telekomunikasinya kepada lebih 9,400 tapak di lima pasaran serantau selepas pengambilalihan yang dicadangkan selesai.
Pada 23 November 2026, anak syarikat milik penuh OCK, OCK Sea Towers Pte Ltd memeterai perjanjian jual beli bersyarat dengan EDOTCO Group Sdn Bhd dan Axiata Group Bhd bagi mengambil alih keseluruhan kepentingan ekuiti dalam EDOTCO Holdings (Labuan) Limited pada harga tunai awal AS$81 juta (RM327.8 juta), tertakluk kepada pelarasan.
“Seiring dengan pengembangan portfolio menara telekomunikasi, kami juga mula meneroka potensi langkah korporat bagi meningkatkan nilai aset menara kami,” kata Chin Khoon dalam kenyataan hari ini.
Dalam sektor tenaga boleh baharu, OCK mempunyai perancangan pembangunan projek berkapasiti antara 30 hingga 40 megawatt (MW) di bawah Program Solar ATAP dan program penggunaan sendiri (SELCO), selain meneroka peluang menerusi Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS).
Keuntungan bersih melonjak 115.7%
Bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2027 (1QFY27), keuntungan bersih OCK melonjak 115.7% kepada RM13 juta berbanding RM6.05 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya, manakala pendapatan meningkat 50.8% kepada RM237.6 juta daripada RM157.5 juta.
Prestasi itu didorong peningkatan sumbangan segmen perkhidmatan rangkaian telekomunikasi, khususnya projek sambungan jalur lebar dan AI, selain perkhidmatan berkaitan pusat data yang merangkumi pembekalan sistem tenaga dan pemasangan gentian optik.
Pendapatan segmen penyelesaian bekalan kuasa kumpulan pula hampir berganda kepada RM46.8 juta berbanding RM23.5 juta setahun sebelumnya, manakala keuntungan sebelum cukai segmen itu meningkat kepada RM14.9 juta daripada RM7.5 juta, mencerminkan peningkatan sumbangan perniagaan berkaitan pusat data. - DagangNews.com






