liza14/09/2026 - 09:03 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 14 Sept – Southern Score Builders Berhad memperoleh kontrak RM180 juta untuk membangunkan sebuah hospital swasta di Ayer Keroh, Melaka.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata kontrak tersebut diberikan oleh Radium Hospital Ayer Keroh Sdn Bhd, anak syarikat Radium Development Berhad, kepada Southern Score Builders Sdn Bhd yang merupakan anak syarikat milik penuh Southern Score Builders.
Projek berkenaan terletak di Mukim Bukit Katil dan membabitkan pembinaan hospital swasta tujuh tingkat bersama kemudahan berkaitan bagi menyokong operasi pembangunan berkenaan.
Skop kerja turut merangkumi pembinaan tempat letak kereta tiga tingkat, bangunan mekanikal dan elektrik serta beberapa kemudahan sokongan lain.
Kerja pembinaan itu dijangka mengambil tempoh 19 bulan dan disasarkan siap pada 14 Mei 2028.
Transaksi Pihak Berkaitan
Kontrak itu diklasifikasikan sebagai transaksi pihak berkaitan susulan hubungan adik-beradik Tan Sri Gan Yu Chai, Pengarah Urusan dan pemegang saham utama Southern Score, dengan pengarah serta pemegang saham utama Radium Development, selain Datuk Sydney Lim Tau Chin, Pengarah Southern Score, turut menjadi pengarah bukan eksekutif bukan bebas Radium Development.
Southern Score berkata projek tersebut dijangka memberi kesan positif terhadap aset bersih dan prestasi keuntungan kumpulan bermula tahun kewangan berakhir 30 Jun 2027 dan berterusan sehingga projek itu selesai.
Kontrak RM180 juta itu menambah kepada aktiviti pembinaan Southern Score ketika kumpulan tersebut turut terlibat dalam projek berkaitan pembangunan pusat data. - DagangNews.com






