Southern Steel raih sewaan RM33 juta tapak kilang keluli di Pulau Pinang ditukar jadi pusat data

LocalBusiness & Finance
5 Oct 2026 • 9:15 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Southern Steel raih sewaan RM33 juta tapak kilang keluli di Pulau Pinang ditukar jadi pusat data Image from: Southern Steel raih sewaan RM33 juta tapak kilang keluli di Pulau Pinang ditukar jadi pusat data amree05/10/2026 - 09:15 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 5 Okt – Southern Steel Berhad bakal meraih hasil sewaan keseluruhan berjumlah RM33.02 juta bagi tempoh tiga tahun, berikutan penyewaan tanah dan premis kilang kelulinya di Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang yang ditukar fungsi menjadi pusat data (DC).

 

Menerusi makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan pengeluar besi berkenaan sudah memeterai perjanjian sewaan pada 1 Oktober 2026 bersama-sama dengan sebuah syarikat penyedia infrastruktur pemprosesan data tempatan, Deep Source (PN) Sdn Bhd.

 

Perjanjian tersebut melibatkan penyewaan hartanah pegangan pajakan seluas 6.29513 hektar merangkumi sembilan hak milik tanah di Mukim 01, Seberang Perai Tengah, dengan bangunan, struktur, serta loji kilang keluli sedia ada di atas tanah berkenaan.

 

"Di bawah terma perjanjian, penyewa menetapkan kadar sewaan bulanan sebanyak RM917,250.00 bagi tempoh pajakan selama tiga tahun, yang menjadikan nilai pajakan terkumpul mencecah RM33.02 juta," jelas Southern Steel dalam kenyataan berkenaan.

 

Penilaian kadar sewaan tersebut dibuat berdasarkan laporan penilai bebas, CBRE WTW Valuation & Advisory Sdn Bhd, yang menetapkan penanda aras sewa pasaran pada kadar RM1.35 sekaki persegi sebulan ke atas keseluruhan ruang hartanah itu.

 

Bagi melengkapkan transaksi ini, pusingan syarat terdahulu perlu dipenuhi dalam tempoh 90 hari, merangkumi kelulusan pihak berkuasa tempatan serta Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) bagi penukaran guna tanah kilang keluli kepada DC.

 

Southern Steel_DagangNews2026

 

Jelas Southern Steel, bakal penyewa hartanah tersebut, Deep Source, merupakan anak syarikat milik penuh kepada Deep Source Holdings Limited (DSHL) yang tersenarai di Papan Utama Bursa Saham Hong Kong.

 

"Kumpulan ini menegaskan bahawa transaksi sewaan itu akan menyediakan sumber pendapatan dan aliran tunai yang positif serta konsisten kepada prestasi syarikat sepanjang tempoh tiga tahun penyerahan premis," tambahnya.

 

Transaksi ini turut melibatkan kepentingan pihak berkaitan apabila pemegang saham kawalan DSHL, You Zhenhua, merupakan pemegang saham substansial tidak langsung dalam kumpulan itu menerusi Green Esteel Pte Ltd yang memegang 50.10% ekuiti.

 

Susulan hubungan berkenaan, Pengerusi Southern Steel, Seah Kiin Peng, dan Pengarahnya, Zhang Cheng, yang merupakan wakil Green Esteel, telah mengkecualikan diri daripada seluruh perbincangan serta pengundian Lembaga Pengarah mengenai urus niaga ini.

 

Lembaga Pengarah, kecuali pengarah berkepentingan, berpendapat perjanjian ini menyebelahi kepentingan terbaik syarikat, manakala persetujuan pemegang saham tidak diperlukan di bawah keperluan Pasaran Utama Bursa Malaysia. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved