
KEGAGALAN mengekang Jerman pada suku pertama menjadi ‘hukuman’ terbesar buat Speedy Tigers apabila Ketua Jurulatih, Brendon Carolan mengakui anak buahnya sepatutnya mampu memberikan tentangan lebih baik pada aksi pembukaan Piala Dunia Hoki 2026, kelmarin.
Malaysia yang tewas 1-5 kepada pasukan ranking kelima dunia itu sudah ketinggalan tiga gol dalam tempoh lapan minit pertama, situasi yang menyebabkan skuad negara terpaksa mengejar permainan sepanjang baki perlawanan Kumpulan B tersebut.
“Saya rasa kami kecewa kerana sebenarnya kami mampu bermain lebih baik. Sudah agak lama kami tidak berdepan pasukan kelompok lima terbaik dunia dan kami bermula terlalu perlahan pada suku pertama.
“Ketinggalan 0-3 ketika permainan masih awal sememangnya sangat mengecewakan. Kami mula bermain lebih baik pada suku kedua dan apabila mengubah sedikit pendekatan bertahan pada suku ketiga, prestasi pasukan juga semakin baik,” katanya.
Biarpun kecewa dengan keputusan tersebut, Carolan tetap melihat beberapa perkembangan positif terutama kemampuan Speedy Tigers mencipta peluang dalam kawasan ‘D’ serta mendapatkan pukulan sudut penalti selepas memperkemaskan permainan.
“Kami menunjukkan beberapa perkara positif apabila berjaya mencipta peluang dalam kawasan ‘D’ dan memperoleh beberapa pukulan sudut penalti. Ia belum berada pada tahap yang kami mahukan, tetapi inilah cabaran apabila berdepan pasukan kelompok lima terbaik dunia.
“Lebih kerap kami dapat bermain menentang pasukan-pasukan besar seperti ini, lebih baik kami akan menjadi,” jelas pengendali kelahiran Australia itu.
Speedy Tigers kini perlu segera melupakan kekalahan kepada Jerman dan mengalihkan fokus kepada pertemuan kedua Kumpulan B menentang Perancis malam ini, sebelum melengkapkan saingan peringkat kumpulan berdepan Belgium, awal pagi Rabu.
The post Speedy Tigers intai bangkit hadapi Perancis appeared first on Kosmo Digital.






