
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) akan terus mempergiat usaha mengurangkan jumlah calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak hadir menduduki peperiksaan itu menerusi pelbagai pendekatan termasuk mengesan murid berisiko sejak Tingkatan Satu lagi.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Azam Ahmad berkata, usaha berkenaan membuahkan hasil apabila jumlah calon tidak hadir dalam kalangan murid di bawah KPM berjaya dikurangkan kepada kira-kira 2,000 orang tahun lalu berbanding lebih 6,000 sebelum ini.
Menurutnya, pihaknya tidak meletakkan sasaran sifar ketidakhadiran kerana terdapat keadaan tertentu yang sukar dielakkan, sebaliknya akan terus berusaha mengurangkan jumlah berkenaan menerusi pendekatan bersasar.
“Tahun ini kalau boleh kita nak kata kosong itu tak bolehlah. Tapi kita usaha yang terbaik,” katanya ketika ditemui selepas menyantuni calon SPM 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 16(1), di sini, hari ini.
Katanya, jumlah sebenar calon tidak hadir merangkumi pelbagai kategori termasuk calon persendirian yang sudah bekerja dan bukan hanya murid di sekolah bawah KPM.
Azam berkata, antara pendekatan dilaksanakan bagi mengurangkan kadar ketidakhadiran calon ialah mengenal pasti punca dari awal termasuk yang berdepan masalah kemiskinan, keluarga dan keperluan mendapatkan sokongan motivasi.
Menurutnya, program Ziarah Cakna diperkenalkan bagi mengesan dan mengenal pasti punca murid tidak hadir ke sekolah.
“Kita cari anak-anak kita yang tak datang sekolah. Apa masalah dia, kalau kemiskinan kita usahakan apa cara untuk kita boleh bantu dia supaya anak boleh datang sekolah.
“Kita panggil Ziarah Cakna. Memang itu pun kita kena buat. Kita tak tahu anak kita tak datang sekolah. Kita mungkin kata kes disiplin tetapi mereka ada cabaran,” katanya.
Katanya, KPM turut menggunakan analisis data kehadiran murid sejak Tingkatan Satu dan Tingkatan Tiga bagi mengenal pasti mereka yang menunjukkan trend ketidakhadiran berulang.
Azam berkata, pelbagai faktor dikenal pasti yang menyumbang kepada data tidak hadir termasuk calon perempuan sudah kahwin dan nikah termasuk calon yang kemalangan serta calon yang baru kematian ahli keluarga.
Dalam pada itu, beliau berkata, KPM turut mengambil langkah mengurangkan risiko calon tidak dapat hadir peperiksaan akibat bencana banjir dengan mengenal pasti kawasan yang sering terjejas berdasarkan rekod terdahulu.
Katanya, calon yang dikenal pasti berisiko akan ditempatkan lebih awal di pusat berhampiran yang mempunyai kemudahan asrama bagi memastikan mereka tidak terjejas ketika peperiksaan berlangsung.
“Kita dah tahu kampung mana banjir selalu. Jalan mana yang terputus untuk anak kita pergi sekolah.
“Anak itu kita dah ambil awal dah. Dudukkan dekat pusat yang ada asrama ataupun di sekolah yang ada asrama yang berdekatan dengan pusat supaya anak kita tak terganggu,” katanya. – UTUSAN
The post SPM 2026: KPM usaha kurangkan calon tidak hadir appeared first on Utusan Malaysia.






