Spotify memperkenalkan Running Mode iaitu ciri baharu yang menjadikan aktiviti larian lebih menyeronokkan. Selain menambah hiburan, ia juga memberi pengguna kawalan untuk menyesuaikan muzik mengikut tempo langkah mereka.

Ia menawarkan sehingga 25 tetapan larian yang boleh disesuaikan mengikut jenis senaman seperti interval, steady dan pyramid. Selain itu, pengguna boleh menetapkan tempoh, kadar rentak lagu (Beats per Minute/BPM) serta kategori muzik pilihan. Senarai main ini kemudiannya akan dipadankan dengan tempo yang ditetapkan lalu bergerak lancar antara lagu bagi memastikan pengalaman lebih konsisten. Di samping itu, Running Mode ini turut menyediakan isyarat audio dalam bahasa Inggeris sebagai panduan dan dorongan sepanjang sesi larian.

Ciri ini turut melengkapi kandungan kecergasan lain di Spotify termasuk kelas Peloton dan video senaman sekali gus membentuk ekosistem kecergasan digital yang menyeluruh. Pada masa yang sama, ia tersedia terlebih dahulu untuk pengguna Premium iOS di pasaran terpilih iaitu Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom, Ireland, Australia, New Zealand dan Sweden.
Sumber – Spotify Newsroom




