SPRM reman pengarah urusan syarikat pembekal baja

LocalPolitics
13 Sep 2026 • 3:24 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: SPRM reman pengarah urusan syarikat pembekal baja

ALOR SETAR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah menahan reman seorang pengarah urusan syarikat pembekal baja bagi membantu siasatan berhubung isu kelewatan pengagihan bekalan baja sebatian tambahan (Baja 3) kepada pesawah di negeri ini.

Perintah reman selama empat hari sehingga 16 September ini dikeluarkan Majistret Eliana Ismail selepas permohonan dikemukakan SPRM di Mahkamah Majistret Alor Setar, pagi tadi.

Suspek lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira pukul 2.30 petang semalam ketika hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Kedah.

Pengarah SPRM Kedah, Datuk Nazli Rasyid Sulong ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan dan memaklumkan kes itu disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesyorkan SPRM menyiasat isu berkaitan kelewatan bekalan Baja 3 kepada kira-kira 40,000 pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), di sini.

Pada 2 September lalu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mengumumkan, penghantaran baki bekalan kepada pesawah yang terjejas akan dilaksanakan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) melalui anak syarikatnya, Malaysian NPK Fertilizer Sdn. Bhd. (MNFSB).

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas pihaknya mengemukakan surat kepada Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 Ogos lalu bagi memohon penamatan perkhidmatan Taveekun Manufacturing Sdn. Bhd. sebagai pembekal Baja 3 susulan kelewatan yang berlaku. – UTUSAN

The post SPRM reman pengarah urusan syarikat pembekal baja appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved