
SKUAD badminton negara tidak berdepan sebarang masalah untuk meneruskan kemaraan ke pusingan suku akhir dalam acara berpasukan lelaki pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 selepas mudah menyingkirkan Mongolia.
Pada aksi pusingan 16 terbaik di Gimnasium Municipal Ichinomiya City semalam, Malaysia menepati ramalan selepas membenam cabaran Mongolia menerusi keputusan 3-0 bagi menempah pertemuan dengan pilihan utama, Indonesia hari ini.
Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Kenneth Jonassen menyifatkan kemenangan ke atas Mongolia mampu menjadi suntikan semangat buat pemain negara selain menggunakan peluang menyesuaikan diri dengan gelanggang.
“Saya anggap kemenangan hari ini (semalam) adalah satu tugasan untuk pasukan. Bagaimanapun, bagi saya, adalah sangat baik bagi mendapatkan peluang untuk merasai suasana serta menguji keadaan gelanggang.
“Aksi menentang Indonesia esok (hari ini) memang sukar kerana kedua-dua pasukan sudah tahu mengenai kemampuan masing-masing. Kami perlu mempamerkan aksi terbaik di kala berdepan cabaran sukar itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Sementara itu, perseorangan utama negara, Leong Jun Hao menggalas tugas cukup berat bagi menyumbang mata pertama Malaysia hari ini apabila dijangka membuat perhitungan menentang pemain No.1 dunia, Jonatan Christie.
“Dia (Christie) memang seorang lawan yang sangat sukar, tetapi saya hanya perlu melakukan persiapan sama seperti sebelum ini. Apa sahaja yang kurang akan diperbaiki untuk perlawanan esok (hari ini).
“Ini adalah acara berpasukan dan saya mesti berjuang habis-habisan dalam gelanggang bagi mendapatkan satu mata dengan menewaskan Christie,” ujar Jun Hao yang pernah bergelar juara remaja Asia.
The post Sukan Asia: Jun Hao ‘kunci’ hadapi Indonesia appeared first on Kosmo Online.






