
PINGAT gangsa Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 nyata memberi pengajaran besar buat ratu wushu negara, Tan Cheong Min apabila mengakui satu kesilapan kecil sudah cukup untuk membezakan warna pingat.
Cheong Min mengakui tetap berpuas hati dengan persiapan serta persembahannya dalam acara gabungan nanquan-nandao wanita biarpun kesilapan yang dilakukan menyebabkan aksinya tidak berjalan sempurna seperti dirancang.
“Berdasarkan segala persiapan yang kami lakukan, saya cukup berpuas hati. Saya boleh katakan persembahan di Nagoya adalah yang terbaik sepanjang tempoh persiapan walaupun ada sedikit kesilapan,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.
Malah, juara dunia tiga kali itu tidak menganggap segala usaha menuju temasya berkenaan sebagai sia-sia selepas masih berjaya membawa pulang gangsa, selain dapat menikmati persembahannya ketika turun beraksi.
Bagaimanapun, pengalaman di Nagoya membuka mata Cheong Min bahawa status sebagai atlet senior dan berpengalaman tidak memberi ruang untuk melakukan kesilapan meskipun membabitkan perkara kecil dalam rutin persembahan.
“Walaupun kita sudah berada di tahap profesional dan menjadi atlet senior, kita tidak boleh terlepas walaupun satu pergerakan kecil. Kadangkala kita terlalu memberikan perhatian kepada tahap kesukaran, sedangkan kemahiran asas juga perlu diberikan fokus,” jelasnya.
Cheong Min yang sebelum ini meraih perak pada Sukan Asia Hangzhou 2022 melihat pengalaman tersebut sebagai bekalan penting untuk memperkemaskan persembahan, terutama sekiranya kembali beraksi pada edisi temasya berkenaan selepas ini.
The post Sukan Asia: Kesilapan kecil buka mata Cheong Min appeared first on Kosmo Online.






