
PETALING JAYA: Empat tahun selepas meraih gangsa pecut berpasukan di Hangzhou, skuad berbasikal trek wanita negara perlu datang ke Aichi-Nagoya dengan sasaran lebih besar daripada sekadar memburu catatan peribadi terbaik.
Jika sekadar memperbaiki catatan masa menjadi ukuran kejayaan, persoalannya ialah sejauh mana pelaburan negara untuk menghantar skuad ke Sukan Asia itu benar-benar menghasilkan pulangan dari segi keputusan dan pingat.
Di Hangzhou 2022, Anis Amira Rosidi dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri masing-masing menamatkan saingan pecut individu di tempat ketujuh dan kelima manakala dalam keirin mereka berada di tempat ketujuh dan kelapan.
Dalam pecut berpasukan pula, Anis Amira, Nurul Izzah dan Nurul Aliana Syafika Azizan mencatat 49.025 saat (s) untuk meraih gangsa sekali gus kekal sebagai rekod kebangsaan, namun empat tahun kemudian mereka perlu membuktikan bahawa pencapaian itu bukan sekadar kemuncak sementara.
Cabaran kali ini juga tidak mudah apabila China menjadi kuasa utama dalam acara pecut wanita manakala Jepun hadir dengan barisan pelumba berkualiti termasuk Mina Sato yang mampu menjadi penghalang besar dalam pecut dan keirin.
Ketua jurulatih berbasikal trek negara, Harnizam Basri, berkata persiapan skuad sudah memasuki fasa terakhir dengan fokus terhadap kuasa dan kelajuan selepas segala kerja kekuatan diselesaikan.
“Setakat ini, kita sudah masuk ke fasa kekuatan dengan kelajuan dan di kem ini di Brisbane kita fokus kepada kelajuan. Ianya bermakna, kita sudah buat semua strength work dan empat minggu terakhir ini memang kritikal, lebih kepada fasa kelajuan.
“Untuk wanita (cabaran) adalah China. China dan kalau keirin, pecut, Jepun juga,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Nurul Izzah sendiri sudah menunjukkan peningkatan apabila mencipta rekod kebangsaan baharu 10.541s dalam kelayakan pecut wanita Piala Dunia di Nilai, April lalu, sebelum mara ke suku akhir dan tewas kepada juara dunia ketika itu, Hetty van de Wouw dari Belanda.
Namun, cabaran di Aichi-Nagoya lebih dekat dengan kelompok Asia apabila Nurul Izzah perlu berdepan pelumba seperti Sato serta Yuan Liying dan Wang Lijuan dari China, yang masing-masing mempunyai rekod prestasi kukuh dalam acara pecut dan keirin.
Malah, trio wanita negara yang dibarisi Anis Amira, Nurul Izzah dan Nur Alyssa Mohd Farid hanya mencatat 48.297s untuk tersingkir pada pusingan pertama Piala Dunia Nilai, sekali gus menunjukkan masih ada jurang yang perlu dirapatkan sebelum sasaran podium di Aichi-Nagoya boleh dianggap realistik. – UTUSAN
The post Sukan Asia medan jelma pingat, bukan cari rekod peribadi appeared first on Utusan Malaysia.






