Skuad takraw mara ke separuh akhir

22 Sep 2026 • 12:52 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Skuad takraw mara ke separuh akhir
Skuad regu sepak takraw negara beraksi menentang India dalam acara regu berpasukan pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Nagoya City Mizuho Park Gymnasium. Foto Bernama

SKUAD sepak takraw negara melangkah ke separuh akhir acara regu berpasukan selepas muncul juara Kumpulan B, menewaskan India 3-0 pada perlawanan pelengkap kumpulan di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Nagoya City Mizuho Arena pada Selasa.

Malaysia bakal berdepan naib juara Kumpulan A, sama ada Korea Selatan atau Indonesia, pada aksi separuh akhir dijadualkan pada Khamis ini.

Gandingan Muhammad Zulkifli Abd Razak, Muhammad Afifuddin Mohd Razali dan Aidil Aiman Azwawi dipaksa bekerja keras sebelum memperoleh mata pertama menewaskan trio India, Malemnganba Singh Sorokhaibam, Arun dan Akash Yumnam 15-13, 11-15, 15-6.

Regu utama negara yang menampilkan Mohammad Syahir Mohd Rosdi, Mohamad Azlan Alias dan Farhan Adam memastikan mata kedua buat Malaysia selepas menundukkan lawan mereka 15-9, 15-12.

Regu ketiga dibarisi Muhammad Zarif Marican, Amirul Zazwan Amir dan Muhammad Hafizul Hayazi Adnan melengkapkan kemenangan negara dengan menundukkan trio terakhir India 15-11, 15-5.

Malaysia membukan kempen di Sukan Asia dengan momentum kemenangan, menundukkan tuan rumah 3-0 sebelum menewaskan Filipina 3-0.

Malaysia kini dalam landasan yang tepat untuk memburu emas pertama acara regu berpasukan selepas kali terakhir menaiki podium tertinggi pada Sukan Asia Beijing 1990, iaitu 36 tahun lepas.

Ketua jurulatih sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun, berkata barisan pemainnya perlu memperkemas beberapa aspek permainan menjelang aksi separuh akhir.

"Secara keseluruhan kita berpuas hati dengan prestasi pemain-pemain kita. Cuma ada elemen-elemen yang perlu kita tekankan untuk kita bawa ke peringkat separuh akhir supaya tidak leka ataupun cepat hilang tumpuan pada perlawanan penting di peringkat separuh akhir ini.

"Mungkin dari segi tumpuan, variasi pukulan kita, first ball kita agak "kendur" pada set kedua regu utama. Itu antara yang kita nampak," katanya.-Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved