Sukar cari komposer ada pengetahuan muzik tradisional – Noraniza Idris

LocalMusic
13 Aug 2026 • 6:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Sukar cari komposer ada pengetahuan muzik tradisional – Noraniza Idris

KUALA LUMPUR: Ratu Etnik Kreatif, Noraniza Idris, mengakui sukar mencari komposer yang benar-benar mempunyai pengetahuan muzik tradisional dan etnik kreatif masa kini.

Menurutnya, kebanyakan komposer ketika ini lebih cenderung menggunakan elemen moden, termasuk bantuan teknologi kecerdasan buatan (AI), sehingga adakalanya karya yang dihasilkan kurang mempunyai jiwa dan identiti tersendiri.

“Karya seperti dahulu sekarang memang susah sedikit hendak dapat. Mungkin pengetahuan atau jiwa anak-anak muda terhadap lagu etnik kita masih kurang.

“Apabila rujukan tidak kuat tetapi terus mahu mencipta konsep, hasilnya jadi ‘celup’. Kadang-kadang apabila dengar, saya sendiri keliru sama ada ini lagu dari China atau negara mana. Identitinya hilang.

“Saya tidak tahu, adakah komposer yang betul-betul boleh menghasilkan lagu begini sudah pupus? Mungkin juga kerana pengaruh AI yang terlalu kuat ketika ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai kesukarannya mendapatkan lagu yang sesuai sejak dua tahun lalu, Noraniza atau lebih mesra disapa Kak Ani berkata, dia tidak mahu sekadar mengikut arus muzik semasa.

Bagaimanapun, penyanyi itu bersyukur kerana masih ada komposer seperti Hafiz Hamidun yang mempunyai ciri-ciri komposer dicari, malah sentuhannya dilihat dekat dengan Allahyarham Pak Ngah atau Datuk Suhaimi Mohd Zain.

“Alhamdulillah, baru-baru ini saya bekerjasama dengan Hafiz Hamidun. Cara dia bekerja sangat dekat dengan cara arwah Pak Ngah. Senang berbincang dan prosesnya juga sangat cepat.

“Saya tidak sangka kita masih ada komposer yang mempunyai jiwa Melayu yang kuat dan karyanya tidak lari daripada ‘jambangan’ asal. Itulah yang saya rindu selama ini.

“Saya harap Hafiz Hamidun akan terus menjadi pelapis komposer Irama Malaysia untuk jangka masa panjang kerana industri kita amat memerlukan sentuhan seperti ini,” katanya. -UTUSAN

The post Sukar cari komposer ada pengetahuan muzik tradisional – Noraniza Idris appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved