
PESILAT Terengganu, Nor Ainun Mokhtar nyata berada dalam kelas tersendiri apabila mudah merangkul pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026 dalam kategori Puteri Kelas E 65-70 kilogram (kg).
Dia yang melakukan penampilan terakhir pada temasya dwitahunan itu memastikan emas pertama Terengganu dalam acara silat selepas menewaskan pencabar dari Kelantan, Nik Nurul Kamilia Atikah Nik Mohd. Iruan menerusi keputusan 33-3.
Pada aksi final yang berlangsung di Dewan Seri Sarjana, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Kajang semalam, atlet berusia 21 tahun itu membuktikan statusnya sebagai pesilat kebangsaan apabila menguasai sepenuhnya pertarungan tersebut.
Ainun tanpa berselindung mengakui gembira kerana dapat menyumbang pingat emas pertama Terengganu dalam acara silat selain menyuarakan rasa puas kerana terpaksa beraksi sambil menahan kesakitan.
“Saya rasa sudah berjaya untuk mengawal pertarungan hari ini (semalam) dan boleh kata dapat mengeluarkan aksi sebenar. Ini merupakan pingat emas kedua saya sejak menyertai Sukma dan ia merupakan penutup sempurna.
“Jadi, saya sebenarnya mempertahankan pingat emas yang dimenangi di Sarawak dua tahun lalu. Kali ini agak sukar kerana ada mengalami kecederaan di kedua-dua belah bahu sejak awal saingan lagi,” katanya ketika ditemui selepas tamat pertarungan.
Kemenangan itu turut menjadi pembakar semangat buat Ainun bagi menggalas cabaran negara pada kejohanan Terbuka Indonesia bulan depan serta Kejohanan Dunia di Tashkent, Uzbekistan Disember nanti.
“Selepas ini saya akan menyertai Terbuka Indonesia pada bulan sembilan nanti dan juga Kejohanan Dunia Disember depan. Saya akan cuba buat yang terbaik untuk dapatkan pingat emas di Kejohanan Dunia,” ujarnya.
The post Sukma 2026: Ainun bukti status atlet negara appeared first on Kosmo Digital.






