
KAJANG – Keputusan berani badang Kedah, Arif Abdul Musawwir Mohd Nor untuk menaikkan bebanan 10 kilogram (kg) pada angkatan kedua clean & jerk membuahkan hasil apabila memastikan kilauan pingat emas dalam acara angkat berat kategori 65 kg di Dewan Seri Cempaka MPKJ, hari ini.
Dalam clean & jerk, Arif melakukan angkatan 155kg dan 111kg dalam kategori snatch sekali gus mengumpul jumlah keseluruhan 266kg.
Catatan itu membolehkan atlet bakal berusia 16 tahun Oktober ini mengatasi wakil Terengganu yang juga peserta pilihan, Ahmad Wazif Zafran Zaki Yamani terpaksa berpuas hati dengan perak menerusi angkatan keseluruhan 265kg, 116kg dalam kategori snatch dan 149kg clean & jerk manakala gangsa menjadi milik atlet Perlis, Mubin Dzulkarnain dengan jumlah 243kg (110kg, 133kg).
Dilatih oleh bapanya sendiri yang juga bekas badang negara, Mohd Nor Osman menjadi kelebihan buat Arif namun akui terpaksa berdepan regim latihan keras.
“Saya berlatih setiap pagi dan petang, jadi tidak ada masa lapang bersama kawan-kawan, hanya terus fokus menjalani latihan. Ayah menjadi pendorong saya untuk ceburi sukan angkat berat.
“Sebenarnya saya suka semua sukan, tetapi dia beritahu saya perlu fokus kepada sukan yang paling mudah untuk menjadi juara dan ia adalah angkat berat.
“Ayah juga kata senang untuk dia jaga saya kerana dia sememangnya bekas atlet negara dan mempunyai pengalaman luas dalam bidang kejurulatihan. Cita-cita saya adalah untuk menjadi juara di Sukan Olimpik dan juga Sukan Komanwel,” katanya.
Sementara itu, Mohd Nor mahu anaknya menjadikan pingat emas ini sebagai titik tolak kepada perjalanan kariernya pada masa akan datang.
“Saya latih Arif bukan semata-mata dia adalah anak saya, tetapi saya nampak potensi yang ada padanya sejak dia mula terbabit sukan angkat berat di usia lapan tahun,” katanya yang pernah melatih pemenang pingat emas Sukan Komanwel tiga kali berturut-turut, Muhamad Aznil Bidin. – KOSMO! ONLINE
The post Sukma 2026: Keputusan berani Arif buahkan hasil appeared first on Kosmo Digital.






