SUKMA 2026: Olahraga Selangor buru tambahan pingat dalam lima acara akhir

17 Aug 2026 • 1:28 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

SUKMA 2026: Olahraga Selangor buru tambahan pingat dalam lima acara akhir

SERDANG, 17 OGOS: Kem olahraga Selangor berpeluang menambah koleksi pingat Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 apabila lima acara akhir menjadi tumpuan di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini, hari ini.

Dua pelari Selangor, M Kabeenesh dan Muhammad Daniel Haqiem bakal berentap sesama sendiri dalam final 400 meter lelaki, manakala kuartet lelaki dan wanita akan turun memburu pingat dalam acara 4x100 meter.

Kabeenesh mengungguli saingan separuh akhir pertama 400 meter dengan catatan 48.800 saat, manakala Daniel Haqiem tampil lebih pantas pada separuh akhir kedua apabila merekodkan 48.150 saat untuk memperbaharui rekod peribadinya.

Dalam acara 4x100 meter lelaki, kuartet Selangor berjaya menempah tiket ke final selepas menampilkan larian meyakinkan pada saingan separuh akhir.

Kuartet wanita pula layak secara automatik ke final dan kini menjadi antara sandaran Selangor untuk menambah koleksi pingat pada hari kedua.

Dua lagi pingat berpotensi dituai menerusi acara 3,000 meter lari berhalangan lelaki dan wanita melibatkan empat atlet.

Sementara itu, kem olahraga Selangor gagal meraih pingat dalam tiga acara akhir yang berlangsung pada sebelah pagi menerusi 10,000 meter jalan kaki lelaki, rejam lembing lelaki dan lompat tinggi lelaki.

Selangor sebelum ini membuka saingan olahraga dengan satu pingat emas dan dua perak pada hari pertama.

Emas disumbangkan Sasha Alyssa Philip menerusi acara lempar cakera wanita, manakala Syafiqah Mohd Azrul Ikram dan Lim Mei Yin masing-masing meraih perak dalam lompat bergalah wanita serta 100 meter wanita.

Kem olahraga Selangor kini mengharapkan tiga acara akhir hari kedua mampu memberikan tambahan pingat dalam usaha membantu Kontinjen Selangor merealisasikan misi muncul juara keseluruhan SUKMA 2026.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved