SUKMA 2026: Dari tempat ke-11 ke puncak podium, Dzul Darwisy bangkit bergelar juara

17 Aug 2026 • 3:20 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: SUKMA 2026: Dari tempat ke-11 ke puncak podium, Dzul Darwisy bangkit bergelar juara
Atlet Kelantan, Dzul Darwisy Adam Khairul Aswari beraksi dalam acara lompat tinggi lelaki akhir pada SUKMA 2026 Kompleks Sukan UPM, pada Isnin. Foto Bernama

SELEPAS sekadar menamatkan saingan di tempat ke-11 pada Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak dua tahun lepas, atlet lompat tinggi Kelantan Dzul Darwisy Adam Khairulaswari bangkit mencipta peningkatan ketara apabila muncul juara pada edisi Selangor 2026 di sini, pada Isnin.

Beraksi di Pusat Sukan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dzul Darwisy melepasi ketinggian 2.09 meter (m) untuk meraih pingat emas sekali gus menghadiahkan emas kedua Kelantan dalam acara olahraga pada temasya sukan dwitahunan itu.

Dua wakil Kedah, Muhamad Nawawi Mohamad dan Muhammad Naufal Zulkifli masing-masing meraih perak dan gangsa selepas mencatat 2.07m dan 2.04m.

Lebih manis, kejayaan itu merupakan kemenangan pertama Dzul Darwisy di pentas kejohanan utama peringkat kebangsaan.

"Apa berlaku hari ini satu rezeki. Kalau mahu dikatakan keajaiban pun, bolehlah dikatakan begitu. Ini kali pertama saya dapat tempat pertama dalam mana-mana kejohanan utama. Saya tidak pernah menang di MSSM (Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia) dan pada SUKMA lepas di Sarawak pun saya tidak berjaya.

"Jadi ini kemenangan pertama saya di SUKMA, berkat doa ibu bapa, kawan-kawan dan semua yang mendoakan saya,” kata atlet berusia 18 tahun itu ketika ditemui selepas final.

Turut hadir menyaksikan acara final itu adalah bekas jaguh lompat tinggi kebangsaan Lee Hup Wei yang kini berkhidmat sebagai jurulatih pelapis kebangsaan.

Pencapaian terbaik Dzul Darwisy sebelum ini ialah tempat ketiga pada MSSM 2023 ketika di Tingkatan Tiga.

Beliau mengakui prestasinya tidak banyak meningkat sejak tempoh itu sebelum menunjukkan perkembangan lebih positif tahun ini.

Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan terpaksa menahan kesakitan akibat kecederaan belakang sepanjang pertandingan, namun tetap berpuas hati apabila memperbaharui catatan peribadi terbaik daripada 2.03m kepada 2.09m meskipun sasaran asalnya antara 2.13m hingga 2.15m.

Beliau kini menyasarkan untuk melepasi 2.16m bagi meningkatkan peluang melayakkan diri ke Sukan SEA tahun depan sebelum cuba memecahkan rekod SUKMA 2.21m milik A. Kavee Alagan dari Negeri Sembilan yang dicipta pada edisi 2012 di Pahang. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved