
KAJANG: Pemanah muda Sabah, Catherine Looi Mei Qi Abdullah mencuri tumpuan pada penampilan sulung di Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 apabila bangkit daripada permulaan kurang meyakinkan untuk meraih emas acara kelayakan compound 50 meter (m) wanita, hari ini.
Lebih manis, Catherine turut mencipta rekod baharu temasya selepas mengumpul 683 mata, sekali gus memperbaharui catatan 681 mata milik Nurul Syaza Husna Mahari dari Terengganu pada SUKMA Sarawak 2024.
Pemanah berusia 16 tahun itu bagaimanapun mengakui hampir hilang keyakinan selepas melakukan beberapa kesilapan pada pusingan pertama sebelum muzik dan kata-kata positif kepada diri sendiri membantunya kembali fokus.
“Saya mendengar muzik dan memikirkan kembali semua kesilapan yang saya lakukan. Saya berkata kepada diri sendiri, tidak mengapa kerana saya sudah melakukan kesilapan. Saya akan cuba memperbaikinya dan mencuba lagi.
“Dalam sukan, perkara paling penting ialah terus mencuba. Itulah yang saya lakukan,” kata kepada pemberita selepas aksi final di Stadium INSPENS. Kajang, hari ini.
Kebangkitan itu membolehkan Catherine menamatkan saingan di kedudukan teratas, manakala wakil Perak, Puteri Qaira Qistina terpaksa berpuas hati dengan perak selepas hanya ketinggalan satu mata, sementara Auni Wafiy dari Kelantan meraih gangsa dengan 678 mata.
Catherine berkata, rekod baharu itu hadir di luar jangkaannya kerana sasaran asal hanyalah untuk menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik selain memperbaiki catatan peribadi sekitar 681 atau 682 mata.
“Saya sangat gembira kerana berjaya mendapatkan mata ini. Saya tidak menjangka boleh mencapai keputusan sebegini. Saya hanya menyasarkan untuk berada dalam kelompok 10 terbaik kerana pada pusingan pertama, prestasi saya tidak begitu baik,” katanya.
Dalam pada itu, Catherine turut berdepan cabaran untuk membahagikan masa antara latihan dan pelajaran apabila baru sahaja menduduki peperiksaan pertengahan semester minggu lalu, selain perlu berlatih sendiri di Sandakan kerana jurulatihnya berada di Kota Kinabalu.
“Minggu lalu, saya baru selesai menduduki peperiksaan pertengahan semester. Jadi, saya perlu mengimbangi sukan dengan peperiksaan dan pelajaran. Memang agak sukar untuk saya. Jadi, saya hanya boleh berhubung dengan jurulatih saya melalui WhatsApp.
“Saya akan memberitahu jurulatih mengenai kesilapan atau masalah yang saya hadapi. Saya akan membuat panggilan video atau menghantar mesej kepadanya,” katanya. – UTUSAN
The post Panahan emas Catherine cipta rekod baharu SUKMA appeared first on Utusan Malaysia.






