IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat bersama lebih 50,000 rakyat ke sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak di pekarangan Dewan Bandaran Ipoh di sini pada Isnin.
Keberangkatan baginda berdua pada jam 8.12 pagi disambut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.
Sambutan dimulakan dengan perarakan masuk kawalan kehormatan utama daripada Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) 2 Divisyen yang berpangkalan di Kem Sangro, Taiping.
Kawalan kehormatan utama itu terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat di bawah pimpinan Mejar Mohamad Izuan Mohamed, dibantu Leftenan Mohamad Firas Azmi, dengan Pegawai Waran 1 Mohamad Fairus Nizam Zambory sebagai Sarjan Mejar Rejimen Perbarisan.
Pegawai pembawa panji-panji ialah Leftenan Aizi Putra, manakala kawalan kehormatan itu diiringi pancaragam KD Pelandok dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di bawah pimpinan Leftenan Muhamad Ali Rajaie Nor Mohamed dibantu Sarjan Major Pegawai Waran II PGM Yushamizul Mohamad Yusof.
Sultan Nazrin kemudiannya berkenan memeriksa kawalan kehormatan utama sebelum mengambil tempat di pentas diraja.
Majlis diteruskan dengan persembahan koir gabungan tiga sekolah iaitu Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Sam Tet, SMJK Ave Maria Convent dan Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Methodist.
Kumpulan koir yang disertai seramai 120 pelajar di bawah pimpinan Cikgu Chin Yu Qian itu mempersembahkan tiga lagu iaitu Aku Berjanji, Tanggal 31 dan Jalur Gemilang.
Sambutan turut dimeriahkan dengan persembahan muzikal kelolaan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perak melibatkan 120 peserta yang membawa mesej kepentingan perpaduan dalam mengekalkan keamanan negara.
Persembahan itu mengetengahkan naratif cabaran semasa termasuk ancaman media sosial dan penyebaran berita palsu yang boleh menggugat keharmonian masyarakat jika tidak dibendung.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan perarakan perbarisan melibatkan 105 kontinjen dengan jumlah keseluruhan 5,884 peserta.
Daripada jumlah itu, sebanyak 89 kontinjen perbarisan melibatkan 5,300 peserta termasuk empat pembawa bendera yang terdiri daripada jabatan kerajaan, pasukan beruniform, daerah, institusi pengajian tinggi, sekolah, pihak berkuasa tempatan, badan berkanun serta sektor swasta.
Selain itu, sebanyak 16 kontinjen perarakan kenderaan turut mengambil bahagian melibatkan 301 unit kenderaan dengan penyertaan seramai 584 peserta daripada pelbagai agensi kerajaan, badan berkanun, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan swasta.
Antara kontinjen yang menyertai perbarisan adalah Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Lembaga Air Perak (MBI).






