amree03/06/2026 - 12:22 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 3 Jun — Walaupun kerugian melebihi RM234 juta bagi tempoh sembilan bulan tahun kewangan 2026 (9MFY26), Supermax Corporation Berhad tetap dilihat optimis, menurut TA Securities.
Tambahnya, ia mampu kembali mencatat keuntungan pada separuh kedua tahun ini, dipacu peningkatan harga jualan produk sarung tangan dan pertumbuhan pengeluaran kilangnya di Amerika Syarikat (AS).
Bagaimanapun, firma itu mengekalkan saranan 'jual' terhadap sahamnya dengan harga sasaran (TP) 33 sen sesaham kerana pemulihan keuntungan masih lagi berdepan pelbagai cabaran operasi dan pasaran.
"Selepas diambil kira caj rosot nilai sekali sahaja berjumlah RM119.5 juta berkaitan dengan kilang tidak produktif dan ditutup, kerugian teras Supermax sekitar RM114.7 juta," kata TA Securities.
Menurutnya, prestasi lemah tersebut disebabkan penurunan hasil sebanyak 17.1% kepada RM519.8 juta berikutan pengukuhan nilai ringgit serta penurunan harga jualan purata (ASP) sarung tangannya.
Walaupun hasilnya rendah, perbelanjaan operasi ujarnya, kekal tinggi akibat kos pemasangan dan perbelanjaan praoperasi bagi kemudahan pengeluarannya di AS, sekali gus menekan margin keuntungan.
Dari sudut suku tahunan jelas TA Securities, kerugian sebelum cukai Supermax berjaya dikurangkan kepada hanya RM39.6 juta pada suku ketiga FY26, berbanding RM58.5 juta pada suku yang sebelumnya.

"Kami tidak membuat perubahan unjuran kerugian FY26, namun menyemak naik jangkaan prestasi FY27 selepas mengambil kira perbelanjaan operasi yang rendah dan kenaikan ASP sekitar 10%," tambahnya.
Kemudahan pengeluaran di AS dijangka meningkatkan pengeluaran sarung tangan pada separuh kedua 2026 sejajar rancangan kumpulan memperluaskan kapasiti kepada kira-kira 2.4 bilion unit setahun.
Jelas TA Securities, kejayaan operasi Supermax bergantung kepada pelaksanaan berkesan inisiatif Custom Manufacturing Solution (CMS) sebagai antara pemacu utama kepada peningkatan keuntungan.
Selain itu, syarikat mengumumkan pelaburan sebanyak AS$50 juta (RM199 juta) bagi membangunkan kemudahan pembuatan baharu di Brazil sebagai sebahagian daripada strategi pengembangan globalnya.
"Kami berpandangan usaha pengoptimuman kos, peningkatan jumlah jualan serta kenaikan ASP melebihi peningkatan kos akibat konflik Timur Tengah berpotensi membantu mencatat keuntungan," katanya.
TA Securities bagaimanapun berkata, sekiranya tanda-tanda pemulihan yang lebih mampan dapat dibuktikan, ia mungkin tidak mengekalkan saranan 'jual' ke atas saham Supermax. - DagangNews.com






