
KOTA TINGGI – Perjalanan sepasang suami isteri berakhir tragedi apabila kedua-duanya maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 31.2, Jalan Kota Tinggi-Kluang, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.20 petang itu, Mohd Herwan Alias, 38, yang memandu Perodua Axia meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
Isterinya, Nur Ezazaya Mohd Ali, 34, yang berada di tempat duduk penumpang hadapan pula disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.
Turut terkorban ialah penumpang belakang kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda BR-V, Mohd Noor Selamat, 58, yang juga meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, Honda BR-V berkenaan dipandu seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun bersama dua penumpang lelaki yang masing-masing berusia 58 tahun.
“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila Honda BR-V dari arah Kota Tinggi menghala ke Kluang terbabas memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Perodua Axia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pemandu dan penumpang hadapan Honda BR-V mengalami kecederaan serta masih menerima rawatan di Hospital Kota Tinggi (HKT).
“Semua mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik HKT bagi tujuan bedah siasat dan prosedur siasatan lanjut,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
The post SUV terbabas ke laluan bertentangan, suami isteri antara tiga maut appeared first on MYBERITA.






