
KUALA LUMPUR: Penyanyi Syasya Rizal meminta segelintir netizen supaya tidak memperlekehkan keputusannya untuk kembali aktif dalam bidang nyanyian selepas mengambil keputusan berhijab.
Syasya, 25, berkata, keputusan untuk berhijab bukan sesuatu yang mudah kerana dirinya mengambil masa yang panjang sebelum benar-benar bersedia menutup aurat.
Menurut bekas anggota kumpulan Dolla itu, proses berkenaan dilalui dengan penuh usaha, doa dan keyakinan sebelum dia akhirnya nekad untuk berhijab.
“Mungkin bagi sesetengah orang, ia kelihatan seperti perkara kecil, tetapi bagi saya, itu merupakan satu langkah besar.
“Saya mengambil masa berbulan-bulan, disertai usaha, doa dan keyakinan sebelum akhirnya mula berhijab,” katanya menerusi hantaran di Threads.
Pada masa sama, Syasya turut menyelar komen segelintir pihak yang membuat andaian dia mungkin membuka semula tudung pada masa akan datang.
Katanya, daripada mengeluarkan komen sedemikian, masyarakat seharusnya mendoakan perkara baik buat seseorang yang sedang melalui proses perubahan dalam kehidupan.
“Jadi, tolong jangan memperkecilkan perjalanan seseorang dengan komen seperti, ‘Tak lama lagi cabut tudunglah tu.’ Sebaliknya, doakanlah yang baik-baik,” katanya.
Syasya berkata, setiap manusia mempunyai perjalanan hidup serta ujian tersendiri dan perkara yang dilalui seseorang tidak seharusnya dibandingkan dengan pengalaman orang lain.
“Apa yang kelihatan mudah bagi kita mungkin sebenarnya satu perjuangan besar bagi orang lain. Setiap daripada kita diuji dengan perkara yang berbeza dalam kehidupan.
“Tidak perlulah membandingkan perjuangan sehingga merasakan perjuangan sendiri lebih besar daripada orang lain,” katanya.
Menurut Syasya, dia tidak mahu terlalu memikirkan pandangan orang sebaliknya memilih untuk terus memperbaiki dirinya dari semasa ke semasa.
“Pada akhirnya, saya hanya sedang berusaha untuk menjadi lebih baik daripada diri saya semalam, dan itu sudah memadai buat saya,” katanya.
Sebelum ini, Syasya menjadi perhatian selepas melancarkan lagu terbaharunya, Different, apabila ada segelintir netizen yang mempertikaikan keputusannya untuk kembali aktif dalam industri muzik selepas berhijab dan berkahwin.
Ada antara mereka menyangka Syasya sudah tidak mahu meneruskan kerjaya seni selepas melakukan perubahan dalam kehidupan peribadinya.
The post Syasya Rizal mohon perjalanan berhijab tidak diperkecilkan appeared first on Utusan Malaysia.






