
PETALING JAYA: Dua beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani dan Aaron Tai-Yap Roy King bakal bertembung sesama sendiri bagi merebut slot suku akhir pada Kejohanan Badminton Jepun Masters di Kumamoto, Jepun, Khamis ini.
Sze Fei-Izzuddin yang merupakan pasangan No. 5 dunia melepasi halangan awal setelah menundukkan beregu ke-20 dunia, Christian Faust Kjaer-Rasmus Kjaer dari Denmark 21-15, 21-16 dalam masa 28 minit, hari ini.
Kejayaan tersebut menyaksikan Sze Fei-Izzuddin mengukir kemenangan kedua berturut-turut ke atas pasangan adik beradik Kjaer itu, selepas kali pertama menyingkirkan mereka di Terbuka Perancis, bulan lepas.
Pada peringkat 16 terbaik, beregu profesional itu bakal menghitung pertemuan dengan rakan senegara, Aaron-Roy King.
Gandingan muda Malaysia yang kini berada di tangga ke-55 dunia itu mengejutkan beregu tuan rumah yang menghuni ranking No. 17 dunia, Kakeru Kumagai-Hiroki Nishi 21-8, 21-14 hanya dalam masa 25 minit.
Bagaimanapun, nasib berbeza dialami satu lagi wakil negara, Nur Mohd Azriyn Ayub Azriyn-Tan Wee Kiong yang terpaksa akur kepada pasangan No. 13 dunia, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard 16-21, 21-16, 20-22 dalam masa 57 minit.
Pada pusingan kedua, beregu Denmark itu akan bertemu satu lagi gandingan Malaysia, Man Wei Chong-Tee Kai Wun ataupun Peeratchai Sukphun-Pakkapon Teeraratsakul dari Thailand yang hanya akan masuk ke gelanggang, esok.
Dalam pada itu, beregu profesional, Chia Wei Jie-Teo Ee Yi yang perlu beraksi pada pusingan kelayakan berjaya mara ke undian utama selepas mengalahkan Lin Xiang Yi-Zheng Wei Han dari China 21-15, 21-18 dalam masa 35 minit.
Wei Jie-Ee Yi akan berjumpa beregu ke-30 dunia, He Ji Ting-Ren Xiang Yu juga dari China pada peringkat 32 terbaik, esok.
Bagaimanapun, nasib malang dialami beregu wanita No. 4 dunia, Pearly Tan-M. Thinaah yang tewas mengejutkan di tangan pasangan pecah ganding tuan rumah, Ririna Hiramoto-Chiharu Shida 21-18, 13-21, 14-21 dalam masa 1 jam 3 minit.
Pearly-Thinaah belum pernah bertemu Hiramoto-Shida yang menghuni ranking ke-214 dunia dalam sebarang kejohanan antarabangsa dan ini merupakan kekalahan pertama mereka. – UTUSAN
The post Sze Fei-Izzuddin, Aaron-Roy King berebut slot suku akhir appeared first on Utusan Malaysia.






