TA Securities: Kemerosotan segmen frekuensi radio punca hasil Inari jatuh kepada RM1.2 bilion bagi FY26

LocalBusiness & Finance
28 Aug 2026 • 12:45 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

TA Securities: Kemerosotan segmen frekuensi radio punca hasil Inari jatuh kepada RM1.2 bilion bagi FY26 Image from: TA Securities: Kemerosotan segmen frekuensi radio punca hasil Inari jatuh kepada RM1.2 bilion bagi FY26 amree28/08/2026 - 12:45 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 28 Ogos — Kelemahan berterusan dalam segmen frekuensi radio (RF), menyaksikan hasil Inari Amertron Berhad jatuh sepanjang tahun kewangan 2026 (FY26), menurut nota TA Securities.

 

Situasi berkenaan ujar firma penyelidikan itu, menjadi cabaran utama kumpulan ketika keuntungan turut terjejas akibat peruntukan kerugian insiden kebakaran dan kadar pertukaran mata wang asing (forex).

 

Ujarnya, tekanan terhadap jumlah pengeluaran dalam segmen RF menyebabkan keuntungan teras susut kira-kira 25.7% kepada sebanyak RM194.1 juta, manakala hasil merosot 12.2% kepada RM1.19 bilion.

 

"Margin Inari turut mengecil kepada 16.3%, namun, prestasi suku keempat menunjukkan perkembangan positif dengan keuntungan teras meningkat 44.8% kepada RM46.4 juta," jelas TA Securities lagi.

 

Hasil kumpulan juga naik 8.7% kepada RM288.9 juta bagi 4QFY26, didorong pemulihan dalam segmen RF dengan keuntungan teras FY26 menepati jangkaan dan menyumbang 96.7% daripada unjuran firma itu.

 

Penilaian ini katanya, selepas ia mengecualikan peruntukan sebanyak RM42 juta bagi perbelanjaan kerugian kebakaran di salah sebuah kilangnya di luar negara dan kerugian bersih forex kira-kira RM24.6 juta.

 

Segmen RF jelas TA Securities, mencatatkan hasil lebih rendah iaitu 21.6% kepada RM688.6 juta berbanding FY25, sekali gus menjadikannya punca utama kemerosotan prestasi tahunan Inari sendiri. 

 

Inari_DagangNews2026

 

"Bagaimanapun, kelemahan ini sebahagiannya diimbangi prestasi lebih baik segmen optoelektronik dan generik mencerminkan usaha kumpulan untuk mempelbagaikan sumber pendapatan," tambah firma itu.

 

Bagi FY27, pengurusan menjangka sumbangan hasil lebih kukuh daripada portfolio fotonik dan produk pembungkusan termaju yang semakin berkembang, yang melengkapi perniagaan RF dan perindustrian.

 

TA Securities berkata, peluang pertumbuhan turut disokong oleh peningkatan pelaburan Inari dalam teknologi kecerdasan buatan generatif atau GenAI, yang akan permintaan terhadap produk fotonik.

 

Kumpulan juga kekal kedudukan kewangan kukuh dengan tunai bersih RM2.21 bilion setakat akhir 4QFY26, dan memberikan fleksibiliti kewangan untuk menyokong pengembangan dan pelaburan baharu.

 

"Kami mengekalkan unjuran pendapatan bagi FY27 hingga FY28 dan memperkenalkan unjuran keuntungan FY29 sebanyak RM297.8 juta, yang mewakili pertumbuhan pendapatan kira-kira 4.9%," jelasnya lagi.

 

Justeru, TA Securities mengekalkan saranan 'pegang' terhadap saham Inari dengan harga sasaran (TP) RM2.70, berdasarkan gandaan harga kepada pendapatan (PE) sebanyak 36 kali bagi hasil CY27F.

 

Firma itu melihat pemulihan segmen RF dan pertumbuhan fotonik, pembungkusan termaju serta peluang GenAI sebagai pemangkin, namun risiko tekanan berterusan terhadap pengeluaran. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved