Tahap hutang Sunview meningkat ketara kepada RM262 juta, jejaskan kedudukan kewangan 3QFY26

LocalBusiness & Finance
27 Aug 2026 • 5:32 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Tahap hutang Sunview meningkat ketara kepada RM262 juta, jejaskan kedudukan kewangan 3QFY26 Image from: Tahap hutang Sunview meningkat ketara kepada RM262 juta, jejaskan kedudukan kewangan 3QFY26 superadmin27/08/2026 - 17:32 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 27 Ogos — Sunview Group Berhad berdepan cabaran kecairan kritikal apabila tahap hutang naik ketara kepada RM262.47 juta setakat 30 Jun 2026 berbanding RM179.25 juta pada September 2025. 

 

Lonjakan liabiliti ini menjejaskan kedudukan kewangan syarikat bagi suku ketiga berakhir 30 Jun 2026, serta membayangi prestasi perolehan dan kemajuan projek yang sedang diusahakan syarikat.

 

Tekanan kecairan dan bebanan tinggi ini turut diburukkan lagi dengan aliran tunai bersih negatif daripada aktiviti operasi syarikat yang mencecah RM18.18 juta bagi tempoh kewangan sembilan bulan.

 

 

 

 

 

"Isu ini mengehadkan fleksibiliti kewangan Sunview menguruskan modal kerja, terutama projek-projek loji janakuasa solar berskala besar (LSS) dengan kos awal tinggi," katanya kepada Bursa Malaysia.

 

Selain isu kedudukan kewangan yang terbeban dengan hutang, masalah utama yang mengekang prestasi keuntungan bersih kumpulan adalah peningkatan ketara dalam perbelanjaan operasi semasa syarikat.

 

Ini termasuk yuran profesional bagi pelbagai aktiviti korporat, dan caj susut nilai menyebabkan untung sebelum cukai (PBT) susut kepada RM78,000 berbanding RM128,000 pada suku yang sebelumnya.

 

Prospek jangka panjang Sunview namun cerah dipacu Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) menyasarkan tenaga boleh diperbaharui (RE) mencapai 37.8% menjelang 2035 dan 70% menjelang 2050.

 

"Pelaksanaan program LSS6 dengan kuota 2,500 megawatt (MW) ditawarkan kerajaan turut bakal membuka peluang pelaburan swasta yang bernilai RM13 bilion hingga RM15 bilion," jelas kumpulan tersebut.

 

LSS6 turut mewajibkan integrasi Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) untuk kestabilan grid dan memberinya kelebihan sebagai peneraju kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC).

 

Bagi segmen komersial dan perindustrian (C&I), permintaan terhadap tenaga solar terus dirangsang kenaikan tarif elektrik dan pengenalan Program Tindakan Peralihan Dipercepatkan Solar (Solar ATAP).

 

Meninjau prestasi kewangan bagi 3QFY26, Sunview merekodkan perolehan kukuh RM104.82 juta iaitu peningkatan jualan sebanyak RM41.55 juta berbanding perolehan suku sebelumnya hanya RM63.27 juta.

 

"Bagi tempoh sembilan bulan, jumlah perolehan RM243.763 juta dengan keuntungan bersih RM1.199 juta, tanpa data perbandingan disebabkan perubahan tarikh akhir tahun kewangan kumpulan," katanya lagi.

 

 

 

 

 

 

Demi memantapkan asas kewangan, syarikat rancak melaksanakan pelbagai aktiviti korporat termasuk pengambilalihan loji janakuasa solar 50 MWAC daripada PKNP Reneuco Suria bernilai RM70.0 juta.

 

Langkah pelupusan 22.44% ekuiti dalam Wavelength Control Berhad pada harga RM30.1 juta tunai juga dijangka meningkatkan kecairan tunai syarikat untuk membiayai projek baharu.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved