
PETALING JAYA: Skuad hoki wanita negara perlu memperkemaskan penyudah jika mahu memberi cabaran kepada China dalam aksi terakhir Kumpulan A Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, esok.
Ketua Jurulatih Skuad Senior Wanita Kebangsaan, C.R. Kumar menganggap kemenangan 3-1 ke atas Bangladesh semalam sebagai pengajaran penting buat anak buahnya sebelum berdepan pasukan yang menghuni kelompok kuasa besar hoki dunia itu.
“Jadi dua perlawanan awal ini menjadi sejarah dan saya harap kami boleh beraksi lebih baik menentang China nanti.
“Kita tahu China bukan lawan yang mudah dan mereka antara kuasa besar hoki dunia sekarang,” kata Kumar.
Kemenangan di Stadium Gifu membolehkan skuad negara mengumpul enam mata daripada dua perlawanan, namun Kumar mengakui anak buahnya perlu lebih klinikal selepas gagal memanfaatkan peluang terutama menerusi pukulan sudut penalti (PC).
“Kami tidak menjangkakan Bangladesh bermain dengan sangat baik, cuma masalahnya adalah penyudah kami tidak begitu klinikal dalam kawasan D dan dihukum dengan mereka menerusi satu serangan balas.
“Ia meningkatkan keyakinan Bangladesh untuk terus berikan tekanan kepada kami. Namun, kami bangkit lebih bagus, meraih banyak peluang dan akhirnya menang dengan kelebihan margin yang positif,” katanya.
Malaysian Tigresses terlebih dahulu dikejutkan Bangladesh menerusi jaringan padang Kona Akter pada minit ke-25 sebelum kebangkitan skuad negara bermula pada separuh masa kedua.
Nuramirah Shakira Zulkifli menyamakan kedudukan pada minit ke-40 sebelum Zati Alyani Muhammad Zubir meletakkan Malaysia di depan empat minit kemudian.
Nuramirah kemudian melengkapkan kemenangan 3-1 menerusi jaringan keduanya pada minit ke-59, sekali gus memastikan Malaysia terus mengumpul mata penuh.
Namun, tujuh peluang PC yang gagal diterjemahkan kepada jaringan, termasuk satu penalti stroke yang tidak disudahkan, menjadi aspek yang perlu diberi perhatian sebelum menentang China.-UTUSAN
The post Taring Malaysian Tigress perlu tajam appeared first on Utusan Malaysia.





