Tasco beli 15 trak Man TGS Euro V

07/10/2025 - 09:22
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 7 Okt – Tasco Berhad, anak syarikat Yusen Logistics Co Ltd dari Jepun membeli 15 unit trak Man TGS 26.440 6x2 spesifikasi Euro V sebagai sebahagian daripada penambahan aset pengangkutannya.
Ia adalah pembelian kali pertama Tasco membabitkan trak Man TGS kerana ia diperlukan sejajar dengan pengembangan pesat kapasiti gudang syarikat itu sejak tahun lalu.
Menjelang 2026, Tasco menjangkakan memiliki kira-kira lima juta kaki persegi ruang gudang di seluruh negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tasco, Andy Lee berkata, keputusan melabur dalam Man TGS dipacu oleh beberapa faktor utama termasuk ketersediaan produk, prestasi terbukti, dan keupayaan Man Truck & Bus (M) Sdn Bhd menyediakan sokongan selepas jualan yang bertaraf dunia.
Selain itu, beliau berkata, keputusan itu selari dengan visi Tasco untuk memanfaatkan pendigitalan dan teknologi bagi meningkatkan kecekapan operasi.
“Apabila kami memperbaharui aset pengangkutan dengan lebih banyak trak spesifikasi Euro V, kami bukan sahaja meningkatkan kecekapan, malah turut memenuhi komitmen ESG yang ditetapkan oleh pelanggan multinasional kami,” katanya dalam satu kenyataan.


Pemilihan trak Man TGS kerana rekod prestasi selama empat tahun dalam segmen Euro V di Malaysia, menunjukkan bahawa ia bukan sahaja canggih dari segi teknologi, tetapi juga boleh dipercayai dan menjimatkan kos.
Trak itu turut mendapat pujian daripada pengendali atas kebolehpercayaan, prestasi dan kos pemilikan keseluruhan (TCO) yang rendah.
Selain itu, trak tersebut juga digemari pemandu kerana kuasa, keselamatan, dan keselesaan yang memuaskan.
Sementara itu, Pengarah Urusan Man Malaysia, Marc Appelt berkata, pihaknya teruja dengan kepercayaan Tasco untuk menjadi sebahagian daripada keluarga Man yang berkembang di Malaysia.
“Di Man, kami menyampaikan nilai menerusi pendekatan ‘Simplifying Business’ untuk membolehkan pelanggan memberi fokus kepada perniagaan teras masing-masing,” katanya. - DagangNews.com
standard

