Gelombang pelaburan AS$60 bilion semikonduktor Jepun dijangka untungkan Kelington - RHB Research

TechnologyBusiness & Finance
6 Aug 2026 • 9:28 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Gelombang pelaburan AS$60 bilion semikonduktor Jepun dijangka untungkan Kelington - RHB Research Image from: Gelombang pelaburan AS$60 bilion semikonduktor Jepun dijangka untungkan Kelington - RHB Research hamden06/08/2026 - 09:28 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Kelington Group Bhd (Kelington) dijangka menjadi antara penerima manfaat daripada kebangkitan semula industri semikonduktor Jepun apabila negara itu mempercepatkan pelaburan dalam pembinaan kemudahan fabrikasi cip bernilai lebih AS$60 bilion, sekali gus membuka ruang kepada kumpulan itu memperluaskan lagi jejak antarabangsanya.

 

RHB Research berkata, Jepun kini muncul sebagai pasaran strategik baharu bagi Kelington berikutan pelanggan utamanya dalam industri faundri semikonduktor sedang mengembangkan operasi di negara itu bagi memenuhi lonjakan permintaan global yang dipacu oleh kecerdasan buatan (AI).

 

Menurut firma penyelidikan itu, pasaran Jepun merupakan lanjutan semula jadi kepada strategi pengembangan geografi Kelington memandangkan syarikat itu lazimnya berkembang seiring dengan pelaburan pelanggan sedia ada di pasaran baharu.

 

"Jepun berpotensi menjadi pemacu pertumbuhan jangka panjang Kelington apabila lebih banyak projek pembinaan kilang cip memasuki fasa pelaksanaan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

 

"Kedudukan Kelington sebagai penyedia penyelesaian gas ultra tulen (UHP) kepada pemain semikonduktor global meletakkan syarikat itu dalam kedudukan terbaik untuk merebut peluang kontrak baharu di negara tersebut," katanya dalam nota penyelidikan.

 

Firma itu berkata, antara projek fabrikasi utama di Jepun termasuk kemudahan pembungkusan cip 3 nanometer di Kumamoto yang diterajui Taiwan Semiconductor Manufacturing Company (TSMC) dan dijangka mula beroperasi pada 2027, selain pembinaan kilang cip memori jalur lebar tinggi (HBM) bernilai AS$9 bilion oleh Micron Technology di Hiroshima yang dijangka memulakan penghantaran pada 2028.

 

Menurut RHB Research, perkembangan itu mewujudkan peluang besar kepada Kelington untuk menyertai rantaian bekalan projek-projek berteknologi tinggi di Jepun, sama seperti kejayaannya memperoleh kontrak daripada pelanggan global di Malaysia, Singapura, China dan India.

 

Prospek Terus Disokong Gelombang Perbelanjaan Modal Agresif

Sehubungan itu, firma penyelidikan berkenaan mengekalkan saranan 'Beli' terhadap Kelington dengan menaikkan harga sasaran kepada RM10.50 daripada RM9.10, mencerminkan potensi kenaikan sekitar 20%.

 

Katanya, prospek syarikat terus disokong oleh gelombang perbelanjaan modal agresif syarikat faundri cip di seluruh dunia yang dijangka memacu pertumbuhan keuntungan tahunan kompaun dua digit bagi tempoh FY26 hingga FY28.

 

Selain Jepun, Kelington turut mengukuhkan prospek pertumbuhan menerusi pelaburan loji pengasingan udara (ASU) sulungnya di India, di samping saluran tender yang kukuh di Malaysia, Singapura dan India yang dijangka diumumkan menjelang suku keempat tahun kewangan 2026.

 

RHB Research juga menjangkakan keputusan kewangan suku kedua 2026 Kelington yang akan diumumkan pada 20 Ogos ini mencatat prestasi bermusim yang lebih kukuh, disokong buku pesanan tertunggak bernilai RM1.92 bilion serta permintaan berterusan daripada industri semikonduktor global. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved